fbpx

6 tip penting untuk hadir temuduga kerajaan atau swasta

Setelah anda laburkan masa, tenaga, dan wang untuk hantar resume terbaik anda ke merata-rata organisasi, baik ke syarikat-syarikat swasta, agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan, akhirnya anda dipanggil juga untuk menghadiri temuduga. Dikala ini, anda sudah semakin hampir dengan kerjaya yang anda impikan sekian lama. TAHNIAH diucapkan!

Jadi, apa yang perlu anda lakukan sekarang? Semasa temuduga nanti, anda hanya akan ada masa lebih kurang 15 ke 20 minit saja untuk mengetengahkan pengalaman, pengetahuan, dan kemahiran anda kepada penemuduga yang berkemungkinan besar menjadi majikan anda. Dalam artikel ini, dibentangkan beberapa tips temuduga yang dapat membantu anda melaluinya dengan tenang dan jaya.

Tip Temuduga 1 – Buat kajian

Ketahui serba sedikit tentang organisasi yang memanggil anda untuk ditemuduga. Jika organisasi itu mempunyai premis atau bangunan yang terbuka kepada orang awam, pergi lawatinya. Layari juga laman web organisasi tersebut. Kalau boleh, cuba bercakap-cakap dengan mereka yang bekerja dalam organisasi itu. Dapatkan maklumat-maklumat ringkas seperti latarbelakang organisasi, produk dan servis yang ditawarkan, dan lain-lain.

Buat catatan tentang perkara-perkara yang mungkin anda boleh tanyakan kepada penemuduga nanti berkenaan organisasi dan jawatan yang dimohon. Membuat kajian ini akan membuat anda lebih menonjol dan menunjukkan yang anda mempunyai minat yang mendalam untuk bekerja didalamnya.

Tip Temuduga 2 – Berlatih sesi temuduga

Mungkin kedengaran agak kelakar, tapi sebenarnya ini dapat melatih diri anda supaya bercakap dengan lebih lancar dan tidak gementar semasa sesi temuduga yang sebenar nanti. Senaraikan beberapa perkara penting yang anda mahu penemuduga tahu tentang diri anda. Semak soalan-soalan yang kerap ditanya semasa temuduga dan sediakan jawapan-jawapannya. Berdiri di hadapan cermin dan laungkan jawapan tersebut berulangkali. Latihan ini akan memupuk anda supaya nampak lebih yakin dan tidak teragak-agak bila ditanyakan soalan-soalan.

Jangan Risau. KLIK SINI Untuk Bantuan!

Tip Temuduga 3 – Berpakaian kemas

Dalam sesi temuduga, pandangan pertama adalah sangat penting. Cara terbaik untuk mendapat pandangan pertama yang bagus adalah dengan berpakaian kemas. Bagi lelaki, anda boleh memakai baju kemeja berlengan panjang, seluar slek, tali leher dan kasut yang sesuai. Untuk wanita pula, pakailah pakaian yang sopan seperti baju kurung, blaus beserta seluar slek, atau apa-apa pakaian sesuai yang tidak mencolok mata. Elakkan dari memakai barang kemas secara berlebihan, begitu juga dengan wangi-wangian.

Pakaian anda akan mencerminkan peribadi anda secara ringkas dihadapan penemuduga dan tahap keseriusan anda untuk jawatan yang anda mohon.

Tip Temuduga 4 – Amalkan etika temuduga yang baik

Ada banyak perkara yang anda “boleh lakukan” dan “tidak boleh lakukan” semasa temuduga, dan senarai ini boleh menjadi sangat panjang dan tidak semua orang akan bersetuju untuk setiap aspek dalam senarai tersebut. Walau bagaimanapun, ada beberapa etika temuduga yang asas yang sangat penting untuk anda ingati.

Hadir temuduga tepat pada waktunya. Ini adalah yang SANGAT PENTING! Majikan mengharapkan pekerja untuk sampai ke tempat kerja tepat pada waktunya. Majikan mungkin akan menganggap mereka yang lambat hadir ke sesi temuduga, yang mana sepatutnya mereka menunjukkan sikap diri mereka yang terbaik, sebagai seseorang yang berkemungkinan besar untuk datang lambat ke pejabat atau susah menepati tarikh akhir tugasan jika diambil bekerja.

Jaga gerak badan atau “body language” anda. Apabila berjabat tangan , pastikan genggaman anda tampak tegas dan yakin. Kawal postur badan anda, tapi elakkan dari nampak kaku. Rasa gementar itu adalah normal, tapi jangan terlalu gementar sehingga penemuduga dapat membuat persepsi yang salah terhadap keupayaan anda untuk pekerjaan tersebut. Apatah lagi jika kerja tersebut melibatkan anda berinteraksi dengan ramai orang! Lihat ke mata penemuduga untuk menimbulkan keyakinan kepada mereka. Bercakap secara sopan dan profesional serta elakkan dari menggunakan slang dan kata-kata yang kasar. Semakin anda menyerlahkan keyakinan dan ketrampilan diri anda, semakin anda meninggalkan gambaran yang positif tentang diri anda kepada penemuduga.

Kekalkan suasana temuduga yang positif. Elakkan dari mengeluarkan kenyataan yang negatif dan memberi komen yang tidak baik tentang pekerjaan dan majikan anda yang terdahulu. Majikan selalunya mahukan pekerja yang sentiasa berfikiran positif, bersemangat, dan dapat memenuhi serta menangani pelbagai cabaran.

 

Tip Temuduga 5 – Bersedia untuk menanyakan soalan kepada penemuduga

Ini adalah masa dimana kajian anda berguna. Majikan ingin tahu jika anda benar-benar berminat dengan jawatan yang anda mohon. Mereka juga ingin tahu bahawa anda mempunyai semua maklumat yang anda perlukan untuk membuat keputusan, jika ditawarkan bekerja. Ini juga merupakan peluang anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang bidang perniagaan yang dijalankan, tentang jawatan, dan jangkaan kepada mereka yang mengisi jawatan tersebut.

Tip Temuduga 6 – Ikuti dengan nota terima kasih

Pastikan anda menghantar ucapan terima kasih kepada pihak penemuduga atas kesudian mereka meluangkan masa untuk menemuduga anda. Ucapan boleh dihantar secara elektronik atau pun cara tradisional. Perbuatan ini adalah satu etika yang bagus dalam menunjukkan penghargaan kita. Ini juga dapat menunjukan kepada majikan yang anda betul-betul berminat untuk bekerja dengan mereka. Bersikap sopan dan profesional akan sentiasa menimbulkan gambaran yang bagus kepada sesiapa saja.

Secara keseluruhannya, tips temuduga ini kembali kepada 3 perkara penting yang perlu anda ingati ketika menghadiri temuduga, iaitu: sentiasa bersedia, bersikap profesional, dan bersopan santun. Tiga elemen ini pastinya dapat membantu anda untuk mencapai kerjaya yang anda idam-idamkan!

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *