fbpx

Apa yang rakyat Malaysia perlu tahu tentang penyakit kencing manis: jenisnya, komplikasinya, dan cara mengelaknya

Malaysia merupakan syurga makanan yang terkenal seluruh dunia. Kita dikurniakan pelbagai jenis makanan yang amat sedap sekali. Oleh itu, tidak mengejutkan sewaktu Malaysia diumumkan sebagai negara ter-obes di Asia Tenggara. Hal ini berlaku kerana makanan-makanan yang enak ini mengandungi kandungan garam, gula, karbohidrat dan lemak yang tinggi. Ditambah pula dengan rutin harian yang tidak aktif, dan kurangnya aktiviti bersukan di kalangan rakyat Malaysia. Semua faktor-faktor ini secara tidak langsung menyebabkan pandemik obesiti menjadi suatu masalah yang besar di negara kita.

Obesiti boleh menyumbang kepada pelbagai jenis masalah kesihatan. Contohnya penyakit jantung, kencing manis, dan strok. Penyakit-penyakit ini menjadi punca utama kematian yang bukan disebabkan penyakit berjangkit di Malaysia.

Penyakit-penyakit ini bukan sahaja membawa impak terhadap pesakit yang menderita penyakit ini, bahkan juga keluarga dan komuniti di mana pesakit itu berada. Contohnya, pesakit yang menghidap strok tidak dapat bekerja disebabkan kelumpuhan. Secara tidak langsung, ahli keluarga terpaksa menjaga pesakit, dan keluarga tidak mempunyai pendapatan tetap. Anak-anak kecil terpaksa bekerja dan tidak dapat meneruskan pembelajaran.

Kita telah kehilangan bakal pelapis negara kerana mereka tidak dapat meneruskan pembelajaran atau memenuhi potensi mereka yang sepatutnya. Ini semua boleh membawa kesan kepada ekonomi keluarga tersebut, mahupun ekonomi negara.

Oleh yang demikian, kita semua perlu cakna tentang penyakit-penyakit ini, lebih-lebih lagi kerana ia dapat dikawal dan komplikasi dapat dielakkan.

Apa itu penyakit kencing manis?

Dalam artikel ini, saya ingin menerangkan tentang penyakit kencing manis. Penyakit kencing manis lazimnya boleh dibahagikan kepada:

  • Kencing manis jenis I (Type I diabetes mellitus), dan
  • Kencing manis jenis II (Type II diabetes mellitus).

Kedua-dua jenis kencing manis ini mempunyai faktor penyumbang dari segi genetik atau keluarga, dan juga faktor persekitaran.

Organ pankreas dalam badan manusia yang menghasilkan insulin.
Organ pankreas dalam badan manusia yang menghasilkan insulin.

Badan kita dicipta untuk memproses dan menggunakan makanan yang kita makan untuk ditukar kepada bentuk tenaga yang boleh digunakan untuk aktiviti harian kita. Salah satu cara badan kita membuat sedemikian adalah dengan merembeskan hormon-hormon tertentu contohnya hormon insulin.

Hormon insulin amat penting untuk melaraskan kandungan gula dalam badan supaya fungsi badan dapat berjalan lancar. Hal ini kerana, sekiranya gula dalam badan terlampau tinggi, ia dapat merosakkan salur-salur darah, di samping sel-sel lain dalam badan. Selain itu, kandungan gula yang tinggi juga boleh menyebabkan proses-proses dalam badan tidak berjalan dengan lancar.

Kencing manis jenis I (type I diabetes mellitus)

Untuk penyakit kencing manis jenis I, pesakit tidak dapat menghasilkan hormon insulin untuk kegunaan badan. Akibatnya, kandungan gula di dalam badan menjadi tinggi dan pesakit akan mengalami simtom simtom yang menunjukkan kandungan gula yang tinggi. Ini termasuklah kerap kencing, kerap haus dan minum air dan juga berat badan yang turun. Sekiranya badan tiada insulin, badan tidak akan mempunyai gula simpanan dan segala aktiviti-aktiviti di dalam badan menggunakan lemak untuk tenaga.

Apabila keadaan ini berterusan untuk jangka masa yang panjang, kandungan asid akan tinggi dalam badan dan pesakit akan mendapat simtom seperti muntah, sakit perut dan juga koma. Keadaan ini dipanggil diabetik ketoasidosis (DKA). Situasi ini merupakan kecemasan dan pesakit perlu mendapat rawatan yang segara. Kadar kematian juga tinggi disebabkan komplikasi ini sekiranya seseorang itu tidak mendapat rawatan dengan segera.

Kencing manis jenis I ini lazimnya berlaku dikalangan orang muda, rata-rata pesakit berada di bawah umur 30 tahun, dan ia adalah jenis kencing manis yang selalu dideritai oleh kanak-kanak.

Oleh kerana kencing manis jenis 1 disebabkan oleh ketidakupayaan badan untuk menghasilkan insulin, pesakit-pesakit ini perlu menyucuk insulin dari awal diagnosis lagi. Mereka tidak boleh diberi ubat makan untuk insulin kerana ia tidak akan membantu badan menghasilkan insulin. Pesakit-pesakit ini lazimnya perlu menyucuk insulin 3 hingga 4 kali sehari, dan perlu memantau kandungan gula dengan kerap untuk memastikan gula tidak terlalu tinggi atau tidak terlalu rendah.

Ada di kalangan pesakit yang mempunyai gula yang terlalu tidak teratur dan perlu mengambil insulin dalam bentuk ‘‘pump’, iaitu mereka mempunya tiub yang masuk terus ke dalam badan yang bersambung dengan mesin dan juga ubat di luar badan. Mesin ini amat rumit untuk digunakan, mahal dan perlu dipantau oleh pakar perubatan yang khas untuk kencing manis. Selalunya pesakit-pesakit ini mempunyai kawalan gula yang amat teruk dan mempunyai pelbagai komplikasi atau kecemasan berkaitan kencing manis dan memerlukan insulin yang berterusan.

Kencing manis jenis 2 (Type 2 diabetes mellitus)

Kencing manis jenis 2 selalunya berlaku di kalangan pesakit yang lebih berumur, dan lazimnya berumur melebihi 40 tahun. Namun demikian, disebabkan kadar obesiti yang tinggi di kalangan kanak-kanak di Malaysia, dan kurangnya aktiviti fizikal dikalangan mereka, semakin ramai kanak-kanak dan golongan muda berumur 20-an yang mendapat kencing manis jenis 2.

Pesakit kencing manis jenis 2 boleh menghasilkan insulin. Namun demikian, jumlah insulin yang boleh dihasilkan tidak mencukupi untuk kegunaan badan. Keadaan ini terjadi apabila sel-sel yang respon terhadap insulin tidak sensitif dengan jumlah insulin yang dihasilkan. Pesakit-pesakit ini mempunyai kerintangan insulin atau “insulin resistance”.

Untuk mengubati pesakit-pesakit ini, mereka memerlukan ubat yang dapat membantu badan atau sel-sel yang menghasilkan insulin untuk merembeskan lebih banyak insulin. Selain daripada itu, ubat-ubat yang boleh menambahkan tahap sensitiviti terhadap insulin juga digunakan untuk pesakit-pesakit ini. Sekiranya ubat-ubat ini tidak dapat membantu kawalan gula dalam pesakit kencing manis jenis 2, pesakit-pesakit ini akan dimulakan dengan ubat suntikan insulin.

Sepertimana pesakit kencing manis jenis 1, pesakit kencing manis jenis 2 juga akan mengalami simtom-simtom gula yang tinggi seperti kerap kencing, kerap haus dan berat badan yang turun sebelum diagnosis kencing manis dibuat. Kebanyakan pesakit akan mengalami simtom ini untuk berbulan-bulan sebelum mereka datang ke hospital disebabkan simtom lain seperti luka yang lambat sembuh, atau jangkitan kuman yang lain.

Ini berlaku kerana badan mereka masih boleh menghasilkan insulin, cuma tahap insulin tidak cukup untuk kegunaan badan dan menyebabkan kandungan gula sentiasa tinggi sepanjang masa.

Disebabkan pesakit-pesakit kencing manis jenis 2 lazimnya hadir ke hospital atau institusi kesihatan setelah berbulan-bulan menghidap penyakit tersebut, mereka selalunya hadir dengan komplikasi gula yang tinggi.

Apa komplikasi penyakit kencing manis?

Disebabkan penemuan insulin pada tahun 1922 oleh Sir Frederick Banting, dan seterusnya pengubahsuaian dan penggubahan oleh pelbagai saintis, pesakit-pesakit yang menghidap kencing manis dapat hidup dengan lebih lama. Oleh itu, kita dapat melihat kesan terhadap tahap kesihatan kita sekiranya seseorang menghidap kencing manis untuk jangka masa yang lama, lebih-lebih lagi sekiranya kencing manis itu tidak terkawal.

Sebelum penemuan insulin, semua pesakit yang mempunya kencing manis jenis I akan mati dalam masa beberapa tahun sahaja setelah mendapat diagnosis kencing manis.

Komplikasi kencing manis untuk jangka masa panjang disebabkan oleh kesan sampingan gula yang tinggi pada salur darah dan sel sel lain di dalam badan. Komplikasi-komplikasi boleh dibahagikan kepada salur darah besar dan salur darah kecil, ataupun dalam bahasa inggeris, “macrovascular” dan “microvascular”.

Salur darah besar termasuklah salur darah ke otak, jantung dan salur darah yang bersambung ke kaki atau tangan.

Salur darah kecil termasuklah salur darah ke mata, salur darah yang memberi oksigen ke saraf-saraf periferi dan juga salur darah ke buah pinggang kita.

Masalah-masalah ini berlaku disebabkan kencing manis menyebabkan salur darah menjadi keras, dan menyebabkan banyak lemak-lemak yang terbina di dalam salur darah tersebut. Perubahan-perubahan ini membawa kepada pembentukan darah beku yang boleh mengalir ke otak atau jantung dan menyebabkan strok atau serangan jantung.

Kencing manis juga boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang. Tahap gula yang tinggi menyebabkan kerosakan pada nefron-nefron iaitu unit-unit penapisan yang terdapat dalam buah pinggang. Kerosakan ini berlaku dalam jangka masa yang panjang dan lazimnya pesakit tidak akan mengetahui bahawa fungsi buah pinggang mereka rosak kerana mereka tidak mempunyai apa-apa simtom.

Selain itu, kencing manis juga boleh menyebabkan kerosakan ke saraf-saraf di seluruh badan dan salur darah yang membekalkan darah ke saraf-saraf tersebut. Ini menyebabkan simtom-simtom kebas-kebas dan ketidakupayaan untuk merasa deria sentuhan. Akibatnya, risiko untuk kecederaan tinggi dan dicampur dengan risiko luka lambat sembuh, menyebabkan akhirnya risiko untuk kaki dipotong dan sebagainya bertambah tinggi.

Kesimpulannya, kencing manis boleh membawa pelbagai kesan jangka masa panjang kepada pesakit-pesakit. Pesakit-pesakit perlu lebih bertanggungjawab dalam mengambil ubat pada masa yang sepatutnya untuk mengelakkan perkara-perkara ini berlaku, disamping memastikan kawalan gula yang bagus.

Kesan jangka masa panjang termasuklah risiko strok, penyakit buah pinggang, masalah penglihatan dan deria sentuhan yang boleh membawa kepada kehilangan atau pemotongan kaki atau tangan.

Bagaimana untuk elak dari mendapat penyakit kencing manis?

Untuk mengelakkan mendapat penyakit kencing manis dan seterusnya komplikasi-komplikasi tersebut, kita seharusnya menjaga kesihatan kita dengan melakukan senaman 3 hingga 5 kali seminggu, sekurang-kurangnya 50 minit setiap kali, di samping menjaga pemakanan dan mengambil makanan seimbang.

Kita juga harus melakukan pemeriksaan berkala untuk memastikan kita berada dalam keadaan yang sihat.

 

Penulis:

Dr Sarah Zulaikha Samad
Pakar Perubatan Dalaman dan Pensyarah Perubatan
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *