fbpx

Impak COVID-19: Negatif atau positif, apa sisi pandang anda?

COVID-19 atau Coronavirus Disease 2019 ialah sejenis penyakit berjangkit baru yang bermula pada akhir Disember 2019, dengan penularan kes pertama di Wuhan, China. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengisytiharkan penularan wabak COVID-19 sebagai pandemik pada 11 Mac 2020 dan menggesa setiap negara untuk mengambil langkah agresif dalam menghadapi pandemik yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Di Malaysia, Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 yang lalu dan telah dilanjutkan sehingga 28 April 2020. PKP ini bertujuan untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dan mengelakkan kadar peningkatan kes yang lebih cepat seterusnya menghentikan penularan COVID-19. Sehingga hari ke-28 PKP, sebanyak 4987 kes positif COVID-19 telah disahkan di Malaysia dengan 82 kematian.

Impak Negatif

Penularan wabak COVID-19 telah menyebabkan kesan negatif yang besar, dan ini tidak terhad kepada aspek kesihatan semata-mata. Kesan dari sudut ekonomi telah pun dapat dirasai di seluruh dunia. Kejatuhan mendadak harga minyak dunia menyebabkan keadaan ekonomi bertambah lumpuh. Industri pelancongan, perhotelan dan penerbangan antara yang terjejas teruk akibat penularan wabak ini. Syarikat-syarikat terpaksa mengurangkan saiz operasi menyebabkan ramai hilang pekerjaan. Peniaga-peniaga kecil, pekerja sambilan dan pekerja bergaji hari atau mingguan atau kontrak kehilangan punca pendapatan, lebih-lebih lagi setelah PKP diumumkan.

Bukan itu sahaja, dengan penguatkuasaan PKP dan penjarakkan sosial, aktiviti keluarga telah dihadkan kepada aktiviti di dalam rumah sahaja, tanpa pengabaian saranan penjarakkan sosial dan pengamalan penjagaan kebersihan yang baik. Selain itu, semua majlis dan aktiviti umum, kenduri, konferens dan acara sukan ditangguhkan;  tempat-tempat ibadah telah diarahkan tutup di mana acara keagamaan kini hanya boleh dilakukan di dalam rumah masing-masing. Semua sekolah, institusi pendidikan dan universiti juga perlu ditutup dan tidak dibenarkan beroperasi menyebabkan aktiviti pengajian dan pembelajaran terjejas.

Walaupun inisiatif seperti pengajian atas talian sedang giat disusun oleh pihak pengurusan universiti dan institusi pendidikan yang lain, hakikatnya, tidak semua pelajar dapat mengambil manfaat secara optimum, terutama bagi golongan pelajar yang tinggal di kawasan luar bandar atau golongan pelajar B40 kerana tidak mendapat akses internet yang baik. Tidak dilupakan, pelajar dalam bidang atau kursus yang lebih bersifat praktikal dan memerlukan tempat latihan yang khas seperti kursus senibina, kulinari, kejururawatan, pergigian dan perubatan, turut terkesan dengan COVID-19 dan PKP.

Berbanding kesan-kesan negatif yang lain, apa yang lebih merisaukan ialah penularan pandemik COVID-19 ini ternyata mendedahkan seluruh rakyat kepada masalah psikologi atau kesihatan mental. Hal ini termasuklah tekanan perasan yang disebabkan oleh kejatuhan ekonomi dan masalah kewangan, ketidakmampuan untuk mendapatkan keperluan asas seperti bekalan makanan, isolasi dan kebosanan atau rasa kekosongan akibat PKP yang telah dikuatkuasakan dengan lebih ketat.

Selain itu, kewujudan stigma kepada pembawa kuman atau mana-mana pesakit yang disaring atau telah disahkan positif, kebanjiran maklumat palsu daripada media sosial turut mendatangkan keresahan dan gangguan emosi sekiranya tidak dikawal dengan bijak. Tidak terhenti kepada rakyat biasa semata-mata, kakitangan kesihatan yang bertungkus-lumus menjalankan pemeriksaan dan memberikan rawatan di hospital dan pusat-pusat kesihatan juga turut terjejas gara-gara pertambahan beban kerja, terpaksa bertugas lebih masa dan tekanan dalam menghadapi wabak COVID-19 ini.

COVID-19 ini sudah tentu memberi impak kesihatan fizikal juga. Bukan setakat kes dan kematian COVID-19 meningkat hari demi hari, bahkan kes-kes kesihatan dan kematian yang lain turut sama bertambah, seperti kes-kes penyakit kronik, serangan jantung dan asma. Ini disebabkan oleh perkhidmatan kesihatan yang terjejas atau sikap para pesakit yang tidak bersegera mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang sepatutnya.

Impak Positif

Walaubagaimanapun, adalah sangat penting untuk kita semua kekal positif dan fokus kepada kebaikan yang boleh kita peroleh daripada penularan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan ini. Keadaan sekarang membuatkan kita menjadi lebih peka kepada cara kuman atau virus merebak seterusnya memberikan perhatian lebih kepada cara asas mencegah penularan COVID-19 iaitu dengan mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan cecair pencuci tangan (hand sanitizer) serta mengamalkan etika batuk atau bersin yang betul.

Selain itu, PKP ini menyediakan ruang dan peluang untuk merapatkan hubungan sesama ahli keluarga, sama ada berkumpul beramai-ramai di rumah, mahupun bagi sesetengah mahasiswa yang terpaksa tinggal di kolej kediaman masing-masing. Bagi ibu bapa yang berkerjaya, ini adalah waktunya untuk menjalankan aktiviti bersama keluarga dan berinteraksi dengan anak-anak, pada masa yang sama memantau aktiviti dan perkembangan mereka. Bagi mereka yang tidak dapat pulang ke kampung, kemudahan teknologi dan akses internet yang ada boleh dimanfaatkan untuk terus berhubung dan bertanya khabar ibu bapa dan ahli keluarga, dengan lebih kerap.

Seperkara lagi, fasa ini menyaksikan kesatuan luar biasa dalam kalangan rakyat Malaysia. Seluruh masyarakat saling membantu menghulurkan bantuan kepada pihak hospital, kakitangan kesihatan, polis, tentera dan petugas barisan hadapan. Pelbagai pihak sama ada individu, organisasi atau badan bukan kerajaan mengambil inisiatif menyediakan sendiri atau mengumpul dana bagi tujuan penyediaan peralatan pelindung diri (PPE) seperti gaun dan topeng muka, dan kutipan sumbangan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Tokoh-tokoh masyarakat dan selebriti-selebriti tanah air turut sama menyeru dan menyebarkan mesej dan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti duduk di rumah, kepada seluruh rakyat Malaysia. Syarikat berkaitan kerajaan seperti Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dan syarikat percetakan dan penerbitan buku yang lain juga berperanan, menjalankan kempen baca buku dan promosi jualan buku bagi menggalakkan rakyat Malaysia untuk kekal duduk di rumah dengan aktiviti-aktiviti pembangunan diri yang bermanfaat. Semangat muafakat ini adalah sesuatu yang sangat berharga pada masa yang kritikal seperti sekarang.

Setiap perkara yang berlaku bergantung kepada cara pandang kita. Tidak dapat dinafikan, tempoh ini merupakan masa yang terbaik untuk setiap daripada kita memperuntukkan masa dan melakukan refleksi diri dan reset minda, termasuklah memperbaiki budaya dan cara hidup, cara fikir, cara kerja dan cara pengurusan emosi kita.

Harapan Kita Rakyat Malaysia

Kita semua akan terus berharap dan berdoa agar penularan wabak ini dapat diuruskan sebaiknya dan keadaan akan segera kembali pulih seperti sedia kala. Kementerian Kesihatan Malaysia sedang bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan Kerajaan Malaysia telah menyusun langkah-langkah penting termasuklah inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN dan PRIHATIN TAMBAHAN) bagi memastikan kebajikan rakyat terus terjamin di saat-saat yang genting ini.

Pada masa yang sama, sebagai rakyat, kita semua perlu kekal bertenang, tidak panik dan memainkan peranan kita sehabis kemampuan seperti duduk di rumah, kerap cuci tangan menggunakan air dan sabun dengan cara yang betul, amalkan penjarakkan sosial dan mengamalkan gaya hidup yang sihat, serta terus berdoa. Kita kini tiada pilihan lain selain menyegerakan pemutusan rangkaian penyakit COVID-19 ini agar kita dapat kembali kepada kehidupan kita sebelum ini. Kanak-kanak dapat kembali ke sekolah, pelajar universiti dapat meneruskan pengajian, kedai-kedai boleh dibuka seperti biasa dan rumah ibadat boleh dikunjungi semula.

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *