fbpx

Kodak masih wujud: Bagaimana gergasi ini jatuh tersungkur, bangun semula, dan masih bertahan

Kisah kegagalan Kodak sudah banyak kali diceritakan oleh media-media atas talian di seluruh dunia sejak syarikat ini diisytiharkan bankrap pada awal tahun 2012.

Untuk pengetahuan anda, Kodak sebenarnya masih wujud sehingga ke hari ini. Tetapi entah kenapa, sehingga tahun 2021 ini masih ada lagi banyak media di Malaysia yang berulangkali menyalin kisah kejatuhan Kodak, malah ada yang menulis Kodak telah hilang ditelan zaman.

Nampak seperti media-media di Malaysia suka benar dengan kisah kegagalan pihak lain untuk menarik perhatian pembaca. Berbeza dengan media atas talian di negara seberang, Kompas.com misalnya, yang sudah pun beberapa kali menceritakan perkembangan terkini syarikat gergasi ini.

 

Jasa yang Kodak telah tinggalkan untuk kita

Syarikat Eastman Kodak diasaskan oleh George Eastman dan Henry Strong pada tahun 1888. Pada zaman awal kewujudan kamera dan filem, hanya syarikat besar dan jurugambar profesional sahaja yang mampu untuk mengambil gambar. Ketika itu, harga kamera dan filem adalah terlalu mahal. Kodak telah meledakkan industri fotografi di seluruh dunia, menjadikan fotografi lebih mudah untuk orang ramai.

Selama sebahagian besar abad ke-20, pasaran kamera dan filem telah didominasi oleh Kodak. Kodak telah menjadikan kamera sebagai alat mengambil gambar yang mudah alih dan juga pemprosesan filem lebih mudah dengan harga yang berpatutan bagi pengguna biasa.

Kodak telah memperkenalkan konsep “snapshot”, yang mendorong orang ramai untuk menangkap momen-momen berharga mereka pada bila-bila masa sahaja. Slogan “Kodak moment” begitu rapat dengan pengguna kerana ia membawa kenangan momen-momen yang berharga dalam hidup mereka.

 

Benarkah Kodak mengabaikan era kamera digital?

Terdapat begitu banyak ulasan tentang kegagalan Kodak kerana mengabaikan perkembangan fotografi digital sehingga dikaitkan dengan kebankrapan Kodak. Kamera digital pertama di dunia telah dicipta oleh Steven Sasson, jurutera elektikal Kodak. Walau bagaimanapun, pihak atasan Kodak memandang sepi terhadap inovasi ini.

Kamera digital Kodak (gambar dari Kodak.com)

Ketika era kamera digital mula berkembang pada tahun 90an, Kodak tidak pula mengabaikan teknologi ini. Bahkan Kodak menjadi peneraju dalam bidang fotografi digital. Kodak telah merekacipta paten-paten berkaitan teknologi fotografi digital dan turut menjual kamera digital. Cuma sayangnya, Kodak tidak menumpukan sepenuh perhatian pada perniagaan ini kerana tetap menganggap ia kurang menguntungkan berbanding fotografi tradisional yang boleh mendatangkan banyak wang melalui penjualan filem dan pemprosesan gambar.

Masuk ke era milenium 2000, dengan pantas sekali permintaan dunia terhadap filem fotografi tradisional menjadi semakin berkurangan. Ini memberikan kesan besar kepada pendapatan Kodak dan semakin merosot dari tahun ke tahun.

 

Kodak diisytiharkan bankrap

Terdapat berbagai-bagai faktor lagi yang menyebabkan kejatuhan syarikat gergasi ini, bukan semata-mata kerana gagal dalam perniagaan kamera dan filemnya.

Kemelesetan ekonomi global pada tahun 2008 telah memberikan kesan besar terhadap perniagaan-perniagaan besar di seluruh dunia termasuklah Kodak. Kegawatan Kodak ditambah lagi dengan beban tanggungan bayaran pencen yang tinggi. Dengan pendapatan yang semakin berkurang, Kodak menanggung hutang yang besar.

Akhirnya, Kodak memfailkan “Chapter 11 bankruptcy protection” (perlindungan kebankrapan) pada 19 Januari 2012, dengan menyenaraikan aset bernilai USD5.1 bilion dan liabiliti bernilai USD6.75 bilion.

Di Amerika Syarikat, Chapter 11 bankruptcy protection merujuk kepada kebankrapan untuk penstrukturan semula syarikat. Dengan perlindungan ini, Kodak masih boleh terus beroperasi, menstrukturkan semula perniagaan, dan membuat pinjaman perniagaan baharu sambil membayar hutang-hutangnya dari semasa ke semasa.

Penstrukturan semula perniagaan Kodak ini dilakukan di seluruh dunia. Kodak mengurangkan kos operasi perniagaan dengan mengurangkan pekerja sehingga 31%, menutup kilang, serta menjual perniagaan teras mereka. Tindakan Kodak ini mendapat sokongan daripada para pemiutang dan berjaya melupuskan hutang-hutang bernilai USD4.1 billion. Bagi mendapatkan aliran tunai tambahan, Kodak telah menjual lebih 1,100 paten berkaitan pengimejan digital dan aplikasi fotografi atas talian dengan nilai bidaan USD527 juta kepada syarikat-syarikat teknologi seperti Google, Apple, Microsoft dan Samsung.

 

Kelahiran semula Kodak yang baharu

Pada 3 September 2013, syarikat Eastman Kodak telah berjaya keluar daripada kebankrapan. Kodak seolah-olah dilahirkan semula sebagai sebuah syarikat yang baharu dengan bidang perniagaan yang jauh berbeza iaitu “business-to-business” (B2B).

Skop perniagaan Kodak yang baharu ini memberi tumpuan kepada produk dan perkhidmatan berasaskan teknologi pengimejan dan percetakan untuk perniagaan. Sebahagian besar pendapatan Kodak adalah datang daripada perniagaan percetakan berkelajuan tinggi dan berkapasiti besar, yang terdiri daripada jenis percetakan offset dan digital. Kodak juga menjual perisian aliran kerja untuk menguruskan kerja-kerja percetakan, bermula daripada rekaan hinggalah kepada proses percetakan.

Pada tahun 2018, Kodak mencuba nasib dengan perniagaan telefon pintar dan tablet. Pada tahun yang sama juga, Kodak melancarkan matawang kriptonya sendiri, Kodakcoin. Akan tetapi, ketiga-tiga produk ini tidak berjaya dan sudah dihentikan.

Kodak juga menjana pendapatan dengan perlesenan jenama. Terdapat produk-produk seperti bateri untuk kamera, aksesori kamera dan kaca mata yang bukan dihasilkan oleh Kodak tetapi menggunakan jenamanya. Produk-produk ini sama ada asalnya dahulu dibuat oleh Kodak, kemudian dijual kepada syarikat lain, atau yang dicipta menggunakan teknologi Kodak.

Anda masih boleh temui filem dan kertas gambar jenama Kodak di pasaran. Banyak tulisan di media internet terutamanya media atas talian yang cuma gemar menyalin semula kandungan pihak lain, menggambarkan fotografi filem tradisional sudah pupus sama sekali.

Sebenarnya filem Kodak masih wujud lagi hingga ke hari ini. Masih ada jurugambar profesional yang menggemari filem tradisional berbanding digital, termasuklah kalangan jurugambar yang muda-muda. Anda boleh temui produk-produk filem Kodak di laman beli belah dalam talian seperti di Shopee dan Lazada.

Produk filem dan kertas gambar berjenama Kodak yang dijual di pasaran sekarang adalah keluaran Kodak Alaris Holding Limited yang berpusat di Hertfordshire, United Kingdom.

Kodak Alaris adalah sebuah syarikat yang terbentuk daripada penyelasaian hutang Eastman Kodak terhadap Pelan Pencen Kodak UK (KPP), dan hasilnya hak pengeluaran dan pemasaran produk filem tradisional (termasuklah kertas dan bahan kimia pemprosesan gambar), perkakasan, dan perisian untuk pengimejan digital dan kios percetakan gambar kini adalah di bawah Kodak Alaris. Walaupun Kodak Alaris adalah entiti perniagaan yang lain, syarikat ini berkongsi hak milik jenama Kodak dengan Eastman Kodak.

 

Satu-satunya pengeluar filem untuk wayang gambar

Kodak adalah satu-satunya pengeluar filem untuk wayang gambar selepas Fujifilm menghentikan pengeluaran pada tahun 2013. Walaupun bukan sebagai penjana pendapatan utama, ia masih lagi perniagaan terpenting bagi Kodak.

Logo Kodak Motion Picture Film. Logo ini boleh ditemui di akhir kredit wayang gambar.

Sehingga kini, Kodak menjalinkan kerjasama yang rapat bersama studio-studio perfileman ternama di Hollywood seperti Disney, Paramount, Sony Pictures, dan Warner Bros. Tahukah anda, filem-filem terkenal seperti F9: The Fast Saga, James Bond 007: No Time to Die, dan Star Wars: The Rise Of Skywalker, dihasilkan dengan filem wayang gambar keluaran Kodak.

Walaupun teknologi digital telah banyak digunakan dalam penggambaran, masih ramai pengarah wayang gambar di seluruh dunia seperti Quentin Tarantino, Martin Scorsese, dan J.J. Abrams, memilih untuk menggunakan teknologi filem tradisional bagi menghasilkan karya mereka.

 

Kodak terjun ke industri farmaseutikal

Kodak adalah syarikat yang sudah mempunyai kepakaran dalam bidang kimia, berhasrat untuk menceburi bidang farmaseutikal.

Pada tahun 2020, Kodak ditawarkan pinjaman kewangan bernilai 765 juta dollar oleh kerajaan Amerika Syarikat untuk membiayai penubuhan Kodak Pharmaceuticals. Kerajaan Amerika Syarikat merancang mahu mengurangkan pergantungan pengeluaran ubat-ubatan daripada negara lain terutamanya China dan India.

Walaupun proses pinjaman tersebut agak kontraversi dan menghadapi masalah, Kodak tetap berhasrat mahu meneruskan bidang farmaseutikal ini tanpa pinjaman daripada kerajaan. Apabila Kodak Pharmaceuticals sudah beroperasi sepenuhnya nanti, ia berkemampuan menghasilkan sehingga 25 peratus bahan aktif yang digunakan untuk penghasilan ubat-ubatan di Amerika Syarikat.

 

Sebenarnya, ada banyak lagi nama-nama perniagaan besar yang pernah mengalami kegagalan tetapi masih wujud lagi sehingga ke hari ini. Mereka bertahan dengan cara mengecilkan skop perniagaan, beralih ke bidang perniagaan baru, dijual kepada pihak lain yang kemudiannya dijenamakan semula, dan pelbagai lagi strategi korporat.

Kesimpulannya, janganlah kita sentiasa memandang sisi negatif pada kegagalan semata-mata. Sebaliknya, lihatlah daripada perspektif yang positif dengan mengambil tahu bagaimana mereka cuba untuk bangkit kembali. Semestinya ada banyak lagi pengajaran yang kita boleh ambil daripada cara bagaimana mereka berusaha untuk terus kekal dalam dunia perniagaan.

 

Rujukan:

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *