fbpx

Masa depan anak: Ibu bapa membimbing, biar anak tentukan sendiri mahu belajar apa dan kerja apa

Semua ibu bapa mahukan anak-anak mereka tamat sekolah dengan keputusan SPM atau STPM yang baik. Langkah selepas alam persekolahan adalah lebih kritikal, di mana anak-anak perlu membuat pilihan kursus dan tempat menyambung pelajaran, sama ada kolej atau universiti, dalam negara atau luar negara. Seterusnya, mereka perlu membuat pilihan kerjaya yang tepat untuk masa depan mereka.

Mungkin kerana terlalu banyak kursus yang ditawarkan, dan anak-anak pula tidak tahu membuat pilihan, ibu bapa mereka pulalah yang membuat pilihan untuk mereka. Sesetengah ibu bapa pula dari awal lagi sudah ada pilihan, mahu anak mereka belajar bidang apa dan mahu menentukan kerjaya mereka menjadi apa selepat tamat belajar.

Anak-anak datang daripada ibu bapa dan sudah tentulah mereka mahukan yang terbaik dari segi kebahagiaan di masa depan anak-anak mereka. Ibu bapa adalah guru pertama kepada anak-anak. Jadi memang tidak dinafikan peranan ibu bapa adalah penting dalam mendorong kejayaan anak-anak, termasuklah dalam soal pelajaran dan kerjaya.

Walaupun begitu, dunia sentiasa berubah. Impian anak-anak juga berubah mengikut arus perubahan zaman. Anak-anak harus memilih jalan kerjaya dan menjalani impian mereka. Namun, pengalaman dunia nyata yang telah dilalui oleh ibu bapa sudah tentu tidak boleh diabaikan. Mereka mahu anak-anak mereka menjadi lebih baik daripada mereka.

Oleh itu, siapa yang harus memilih kerjaya untuk anak-anak itu sendiri, ibu bapa atau kedua-duanya bersama?

Ibu bapa harus memilih kerjaya anak?

1. Keinginan ibu bapa

Setiap ibu bapa ingin melihat anak-anak mereka hidup dengan baik. Jadi mereka mahukan anak-anak mendapat pekerjaan yang bagus, bergaji besar dan boleh hidup mewah.

2. Mahu mengurangkan tekanan pada anak-anak

Memikirkan tentang kerjaya memerlukan perhatian yang serius kerana ia melibatkan masa depan. Mereka tidak mahu anak-anak menghadapi banyak tekanan. Jadi pada mereka, anak-anak harus membiarkan ibu bapa mengikut saja apa yang mereka suruh. Anak-anak mereka pula hanya perlu memberi tumpuan kepada pelajaran dan peperiksaan.

3. Pengalaman

Orang tua lebih dulu makan garam, jadi anak-anak mesti ingat bahawa ibu bapa jauh lebih berpengalaman daripada mereka. Keputusan ibu bapa mahu tentukan anak-anak mereka belajar bidang apa dan bekerja menjadi apa adalah daripada pengalaman hidup mereka, demi menjadikan masa depan anak-anak lebih baik.

Ibu bapa juga dahulu seperti anak-anak mereka, mempunyai impian tertentu semasa muda. Ada di antara mereka gagal mencapai impian kerana masalah keluarga, kekangan kewangan, atau mereka pun dipaksa menurut kemahuan orang tua mereka.

Kemudian ibu bapa memaksa anak-anak mereka untuk mengambil alih impian mereka. Mereka cuba melihat diri mereka pada anak-anak mereka.

Mungkin juga kerana telah melihat anak-anak orang lain terlebih dahulu berjaya dalam hidup dengan pilihan kerjaya oleh ibu bapa mereka. Lalu anak-anak sendiri pun disuruh memilih kerjaya pilihan ibu bapa supaya boleh berjaya seperti anak orang lain.

Adalah lebih baik jika ibu bapa dan anak-anak menentukan bersama mengenai kerjaya yang akan anak-anak lalui.

Anak-anak harus memilih kerjaya mereka sendiri

1. Hak untuk memilih

Anak-anak mempunyai hak untuk memilih kerjaya mereka sendiri dan mengecapi impian mereka.

2. Mengetahui dirinya dengan lebih baik

Seorang anak hanya dapat mengetahui minat dan kebolehannya dengan lebih baik apabila dia membuat pilihannya sendiri, berbanding apabila orang lain yang membuatkan pilihan untuk mereka. Mereka tahu bidang pelajaran yang diminati, oleh itu mereka dapat menentukan jalan kerjaya mereka sendiri.

3. Fasa kehidupan yang menyeronokkan tetapi mencabar

Kehidupan sebagai seorang pelajar adalah fasa menyeronokkan tetapi mencabar bagi anak-anak. Sekiranya anak-anak memilih kerjaya mengikut kehendak ibu bapa mereka, mereka akan menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar yang membosankan.

Oleh yang demikian, untuk menikmati fasa ini dengan cara terbaik, seorang anak harus memilih jalan kerjayanya sendiri.

4. Menghadapi tekanan

Sekiranya anak-anak mengikuti jalan kerjaya yang dipilih oleh ibu bapa mereka dan ia tidak menarik minat anak-anak, mereka akan menghadapi banyak cabaran dan tekanan. Bagi mengelakkan situasi seperti ini, anak-anak perlulah memilih sendiri kerjaya yang mereka minati.

 

Peranan ibu bapa sangat penting dalam kehidupan anak-anak sebagai pembimbing kejayaan masa depan. Mereka harus memahami keperluan dan  keinginan anak-anak, bukannya menekan mereka.

Dengan memberi ruang yang luas kepada anak-anak untuk memilih apa yang ingin mereka lakukan untuk masa depan, pastinya ia akan mendorong kejayaan hidup mereka pada hari-hari mendatang.

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *