fbpx

Selepas dilanda ujian dan musibah, Rozeriya Enterprise mampu bangkit dengan gah

Siapa sangka berkat kesabaran mengharungi musibah-musibah yang melanda, tercetusnya idea menghasilkan produk makanan baru dan seterusnya perniagaan pasangan suami-isteri ini semakin berkembang.

Zariah Ibrahim bersama suaminya Rozain Ismail mengasaskan perniagaan Rozeriya Enterprise pada tahun 2006 bermula dengan perusahaan tanaman cendawan tiram kelabu. Kini perniagaan mereka berkembang dengan mengeluarkan produk kuih-muih sejuk beku dan juga sedia dimakan.

Rangkaian produk makanan yang dihasilkan oleh Rozeriya Enterprise

Mereka berdua sama-sama lulusan kejuruteraan dari universiti di Jepun telah lama berminat dengan penanaman cendawan sejak menuntut di negara matahari terbit itu. Beberapa tahun selepas pulang ke tanah air, mereka nekad memulakan perniagaan yang menjadi cita-cita sejak zaman pelajar lagi.

“Pada masa itu tanaman cendawan tiram kelabu belum meluas lagi di negeri ini, kursus pun belum ada lagi di jabatan pertanian di tempat kami ni,” Rozain menceritakan bagaimana mereka memulakan penanaman cendawan dulu di kawasan rumah mereka di Kampung Rahmat, Kuala Krai, Kelantan.

“Isteri saya, Zariah berulang-alik ke Jabatan Pertanian Kelantan di Kota Bharu untuk belajar. Masa itu mereka belum ada kepakaran lagi, cuma tahu teorinya saja. Tanaman cendawan ini pun belum dikategorikan sebagai tanaman komersial. Jadi kami bekerjasama dengan jabatan pertanian secara praktikal untuk mengkomersialkan penanaman cendawan ini,” tambahnya lagi.

Projek tanaman cendawan yang mereka berjaya mengeluarkan hasil dan dapat dipasarkan.

Kenangan semasa mengusahan projek cendawan, Rozain masih menyimpan keratan akhbar yang memaparkan tentang perusahaan cendawan mereka.

“Masa tu kami fokus dengan tanaman cendawan ni. Alhamdulillah boleh dikatakan berjayalah juga. Jadi kami rancang mahu besarkan lagi projek cendawan kami ni. Kami mohon pinjaman modal perniagaan daripada MARA dan diluluskan,” katanya.

Duit modal yang diperolehi daripada pinjaman MARA digunakan untuk membesarkan bangsal tanaman dan menambah dua puluh ribu bongkah cendawan.

 

Musibah yang datang mencetuskan idea perniagaan baru

Dalam masa yang sama projek cendawan mereka sedang berkembang, pihak jabatan pertanian pun giat mempromosikan perusahaan penanaman cendawan kepada usahawan-usahawan yang berminat. Tak lama selepas itu muncul ramai pengusaha tanaman cendawan baru lalu menjadikan lambakan hasil cendawan di pasaran.

“Bila projek cendawan kami dah semakin besar, malangnya harga pula sudah turun banyak sebab berlaku lambakan cendawan di pasaran sampaikan harga jual sudah dekat sama harga kos.”

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, mereka diuji pula dengan serangan penyakit tanaman cendawan. Daripada dua puluh ribu bongkah cendawan cuma tinggal lima ribu saja. Duit modal hangus begitu saja.

Rozain dan Zariah yang tidak mudah mengalah, mengumpulkan baki bongkah cendawan yang masih selamat. Projek cendawan tetap diteruskan juga hingga dapat mengumpul sedikit wang untuk dijadikan modal.

“Sudahlah projek kami terjejas terus sebab penyakit, harga cendawan pun dah jadi murah. Jadi kami mesti buat sesuatu dengan hasil cendawan yang masih ada ni untuk dapatkan lebih keuntungan.”

Berbekalkan modal dua ratus ringgit yang dikumpul sedikit demi sedikit daripada hasil cendawan yang masih berbaki, mereka mencipta produk makanan baru menggunakan hasil cendawan mereka sendiri. Maka terhasillah produk kuih popiah cendawan berkrim pada tahun 2007.

Popiah cendawan berkrim keluaran Rozeriya Enterprise

“Mula-mula dulu kami buat sendiri kuih ni, jual depan rumah saja. Target asal kami ialah pelajar-pelajar sekolah. Depan kawasan rumah kami ada MRSM dan sekolah arab Maahad Rahmaniah. Ada keluarga pelajar yang datang dari jauh singgah beli popiah di gerai kami dan mereka mahu bawa pulang.”

Rozain dan Zariah pun terfikir untuk menghasilkan kuih popiah sejuk beku. Dengan ini popiah jadi lebih tahan lama disimpan dan boleh dibawa balik oleh pelanggan-pelanggan yang datang dari jauh.

Popiah cendawan berkrim yang dijadikan produk makanan sejuk beku, ini gambar pembungkusan yang lama.

Kuih yang mereka hasilkan menjadi buah mulut orang-orang di sekitar daerah Kuala Krai. Hari demi hari popiah cendawan berkrim semakin laris. Perniagaan baru mereka semakin berkembang. Bermula dengan membuat kuih di rumah dan berjualan di gerai, produksi kuih mereka berpindah ke rumah kedai dan menambah pekerja-pekerja untuk membantu membuat kuih. Rozeriya Enterprise semakin dikenali. Beberapa jenis popiah yang baru juga turut ditambah.

Pasangan usahawan ini tidak bersendirian. Beberapa agensi kerajaan menghulurkan tangan membantu memajukan perniagaan mereka.

“Dari mula kami buat projek cendawan dulu kami bernaung di bawah Jabatan Pertanian. Kemudian kami dapat pinjaman MARA. Alhamdulillah sudah habis bayar pun pinjaman MARA tu. Kemudian KESEDAR (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan) pun banyak bantu kami. Yang terbaru ni RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) pun membantu menjadikan kami usahawan bimbingan.”

Lawatan pegawai-pegawai RISDA ke kilang Rozeriya

Mesin-mesin dan perkakasan membuat kuih ditambah untuk meningkatkan pengeluaran. Bagi memastikan kebersihan, keselamatan pemprosesan makanan serta mendapatkan keyakinan pelanggan, Zariah berusaha mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

Kebangkitan selepas banjir besar Kuala Krai pada tahun 2014

Menyingkap kisah banjir besar yang melanda Kuala Krai pada tahun 2014 dulu, Rozain menceritakan bagaimana perniagaan mereka, Rozeriya Enterprise, diuji dengan musibah bencana alam ini dan kemudian bangkit semula.

Keadaan banjir yang menenggelamkan Kuala Krai pada Disember 2014 (sumber foto daripada BERNAMA)

“Premis kami kena banjir. Peti sejuk dan mesin-mesin habis tenggelam. Tapi mujurlah kami sempat selamatkan stok kuih-kuih yang ada. Semuanya kami sedekahkan ke pusat pemindahan banjir.”

Setelah banjir surut, Rozain membaiki sendiri mesin-mesin di premis mereka.

“Dulu masa di universiti belajar engineering bolehlah baiki sendiri mesin-mesin ni, Alhamdulillah perniagaan kami pulih cepat daripada orang lain.”

Setiap ujian yang melanda kita pasti ada hikmah dan rahmat disebaliknya.

“Lepas banjir tu satu daerah lumpuh, banyak perniagaan belum boleh beroperasi semula. Bila sekolah-sekolah berasrama dibuka semula, pihak sekolah mencari pembekal yang boleh hantar kuih-muih ke asrama. Kami pun rebut peluang tu.”

Dari situ Rozeriya Enterprise mendapat peluang perniagaan baru membekalkan kuih-muih ke asrama sekolah-sekolah di daerah Kuala Krai. Kuih-muih yang sama turut dijadikan produk makanan sejuk beku untuk dijual secara runcit dan borong.

“Alhamdulillah kami dapat pulih balik dengan cepat selepas banjir. Produk kuih-muih kami bertambah, jualan pun makin meningkat.”

Melalui agensi-agensi kerajaan seperti Kesedar dan RISDA, Rozeriya Enterprise kerap dijemput menyertai ekspo dan pameran di dalam dan luar negara untuk memasarkan produk-produk mereka.

Kini produk-produk mereka bukan sahaja boleh didapati di seluruh negeri Kelantan, malah di negeri-negeri lain juga kerana ramai usahawan berminat menjadi pengedar kuih-muih sejuk-beku keluaran perniagaan mereka.

“Mereka (agensi-agensi kerajaan) memang banyak sangat bantu kami. Kami dijemput sertai event besar macam Karnival Usahawan Desa, MIHAS dan MAHA. Ekspo di luar negara pun mereka pernah bawa kami juga seperti ekspo makanan di China.”

Penulis (kedua dari kiri) bersama keluarga melawat gerai pameran dan jualan Rozeriya Enterprise di Karnival Usahawan Desa pada tahun 2019.

Kejayaan mereka mengusahakan perniagaan makanan ini semakin terserlah dengan menerima beberapa anugerah demi anugerah dan juga memenangi pertandingan keusahawanan.

Zariah telah menerima anugerah usahawan jaya peringkat negeri pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan Tahun 2017.

Kemudian pada tahun 2019 Zariah telah mewakili Rozeriya Enterprise dalam pertandingan RISDA Business Challenge dan memenangi tempat ketiga. Dengan kemenangan ini pihak RISDA menaja perniagaan mereka untuk membeli sebuah cool room dan sebuah blast freezer bernilai lima puluh ribu ringgit.

Zariah menerima hadiah tempat ketiga pertandingan RISDA Business Challenge 2019

Saksikan video Rozeriya Enterprise yang ditaja oleh RISDA.

 

Pada tahun yang sama juga juga mereka telah menerima Anugerah IKS ‘ZERO TO HERO’ daripada kerajaan negeri Kelantan. Anugerah yang disampaikan di majlis sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Negeri Kelantan itu adalah kerana Rozeriya Enterprise menunjukkan peningkatan prestasi daripada segi jualan yang sangat membanggakan.

Zariah menerima Anugerah IKS ‘Zero To Hero’ daripada kerajaan negeri Kelantan di majlis sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Negeri Kelantan 2019. (foto daripada NSTP)

Dengan permintaan yang semakin bertambah, pengeluaran produk-produk Rozeriya Enterprise juga mesti dipertingkatkan lagi. Premis sedia ada juga semakin sempit, tidak dapat menampung pengeluaran yang semakin bertambah. Pada tahun lepas (2020) melalui program integpreneur belia Kesedar, Rozeriya Enterprise ditawarkan sewaan kilang bersama kelengkapan lengkap.

Pegawai-pegawai KESEDAR melawat premis kilang baru Rozeriya Enterprise

 

Menangani cabaran pandemik COVID-19

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak tahun lepas sememangnya memberikan tamparan hebat terhadap perniagaan Rozeriya Enterprise. Kesulitan ini menjadikan cabaran buat Zariah dan Rozain untuk mempertahankan perniagaan mereka.

“Sebab perintah kawalan pergerakan (PKP) sekolah ditutup, pelajar yang duduk asrama semua balik rumah. Orang ramai pun duduk rumah tak keluar membeli. Jualan kami merosot. Jadi kami perlu onlinekan jualan kami ni supaya orang ramai boleh dapatkan produk-produk kami tanpa keluar rumah.”

Kini Rozeriya Enterprise telah mula membuat jualan secara online di portal jualan Shopee Malaysia. Beberapa inovasi produk baru yang sesuai untuk jualan online turut ditambah. Orang ramai boleh mendapatkan produk-produk keluaran Rozeriya Enterprise di kedai online Rozeriya Mart.

Kedai online Rozeriya Mart di portal beli-belah Shopee Malaysia.

 

Dalam musim yang serba mencabar ini pasangan usahawan gigih ini menasihatkan kepada para usahawan yang sedang berjuang, “setiap sesuatu yang berlaku tu ada hikmahnya, jadi bila kita diuji kita kena sabar dan selalu bersyukur dengan apa yang kita ada” kata Zariah.

“Masalah yang datang boleh jadi peluang. Jadi usahawan kena cepat bertindak, bila ada peluang kena cepat-cepat sambar,” tambah Rozain pula.

Orang-ramai boleh mengikuti perkembangan perniagaan yang diasaskan mereka berdua melalui laman rasmi Facebook Rozeriya Enterprise.

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *