fbpx

Bil elektrik melambung? Ikuti tip jimat elektrik yang sangat mudah diamalkan ini

Ramai orang merungut kerana kos sara hidup semakin membebankan. Ini termasuklah tarif bil elektrik yang telah meningkat. Bagi para peniaga kos operasi mereka juga turut meningkat. Ini juga memberikan kesan terhadap perbelanjaan harian kita di rumah.

Walau bagaimana pun, sebagai pengguna kita harus bijak menguruskan penggunaan elektrik di rumah atau di premis perniagaan. Ambil langkah-langkah penjimatan yang dikongsikan di bawah ini. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu mengurangkan bayaran bil elektrik anda berbanding bulan-bulan sebelum ini.

 

Tip umum

Tutup (matikan) suis lampu, kipas atau peralatan elektrik dan elektronik lain setelah meninggalkan bilik atau ruang. Membiarkan peralatan elektrik terbuka (ON) tanpa ada sesiapa di tempat itu adalah suatu pembaziran.

Ketika membeli peralatan elektrik yang baru, pilihlah yang mempunyai logo ‘ENERGY STAR’.  Peralatan yang mempunyai logo ini telah diakui  oleh  Suruhanjaya Tenaga bahawa ia menggunakan tenaga elektrik dengan efisyen, jadi ia menjimatkan penggunaan elektrik.

Berikut pula adalah tip jimat elektrik untuk setiap jenis peralatan utama di rumah, pejabat atau premis perniagaan kita.

1. Lampu

Padam semua lampu bilik atau ruang yang ada di rumah sekiranya tiada sesiapa di situ.

Gunakan satu mentol lampu yang besar jika memerlukan lebih pencahayaan berbanding menggunakan mentol yang bersaiz kecil tetapi banyak bilangannya.

Jika anda perlu menukar lampu baru menggantikan lampu lama yang rosak atau terbakar, gantikan dengan lampu mentol pijar dengan kalimatang CFL atau lampu LED. Dari segi penggunaan tenaga, lampu CFL menggunakan 2/3 tenaga lebih rendah berbanding lampu mentol pijar, manakala lampu LED hampir separuh penggunaan tenaga berbanding lampu CFP. Jangka hayat kedua-dua jenis lampu ini juga lebih lama.

Bagi anda yang meninggalkan rumah dalam waktu yang lama seperti pulang berhari-raya di kampung atau bercuti ke luar negara, tak usahlah biarkan lampu terbuka sepanjang masa ketiadaan anda  di rumah. Gunakan alat pemasa / timer untuk menghidupkan dan mematikan lampu pada masa tertentu. Sementara itu di halaman rumah atau di garaj pula, pasangkan lampu yang disambungkan dengan light sensor jika mahu lampu hidup sendiri menjelang malam (gelap)  atau motion sensor untuk menghidupkannya apabila ada sesuatu pergerakan,

 

2. Peti Sejuk

Pastikan pintu peti ais ditutup rapat setelah digunakan. Jangan kerap buka pintu. Ini kerana peti sejuk akan menggunakan lebih tenaga untuk menyejuk semula setelah dibuka atau pintunya tidak tertutup rapat.

Susun atur barang-barang di dalam peti sejuk dengan baik. Hawa dingin di dalam peti sejuk akan mengalir dengan betul lalu menyejukkan barang-barang makanan dengan sempurna. Penggunaan elektrik menjadi lebih efisyen.

Jika ada barang makanan yang masih panas dan mahu disimpan di dalam peti sejuk, biarkan ia dingin terlebih dahulu. Makanan yang masih panas jika terus dimasukkan di dalam peti sejuk akan menyebabkan penggunaan elektrik yang banyak kerana peti sejuk bekerja keras untuk mengekalkan suhu dingin di dalamnya.

 

3. Pendingin hawa (air cond)

Pendingin hawa adalah paling banyak memberikan peningkatan bil elektrik kita.

Sekiranya bilik dalam keadaan panas atau berbahang, buka dahulu tingkap dan hidupkan kipas untuk mengalirkan udara panas keluar. Kemudian barulah hidupkan pendingin hawa.

Pastikan semua tingkap dan pintu di tutup semasa menggunakan pendingin hawa.

Gunakan kipas dengan kelajuan perlahan untuk menyerakkan hawa dingin ke seluruh ruang bilik dengan cepat.

Gunakan suhu sekitar 24°C – 26°C pada penghawa dingin anda. Jika suhu terlalu sejuk, kompresor pendingin hawa akan bekerja lebih kuat dan ia memerlukan lebih banyak tenaga.

Dengan pemasangan filem penapis haba gelap (tinted) pada tingkap rumah, pendingin hawa akan menyejuk dengan lebih cepat kerana kurang haba daripada cahaya luar masuk ke dalam rumah. Ini juga akan mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.

Servis pendingin hawa secara berkala. Anda boleh lakukan sendiri pembersihan habuk pada penapis udara dan kipas di dalam pendingin hawa. Jika anda tidak punya masa, boleh mengupah pihak yang melalukan kerja-kerja penyelenggaraan pendingin hawa. Jangka hayat pendingin hawa juga lebih lama jika diselenggara dengan baik.

Sekiranya anda baru hendak membeli pendingin hawa, belilah yang mempunyai inverter. Ia direka cipta untuk menjimatkan tenaga. Video ini menerangkan tentang perbezaan diantara pendingin hawa yang mempunyai inverter dan jenis lama.

Jika anda tidak memerlukan pendingin hawa, menggunakan kipas angin sahaja mungkin sudah memadai.

 

4. Seterika

Jika hendak menggosok pakaian, gosoklah semua pakaian yang ada sekaligus. Misalnya pakaian sekolah anak-anak bersama pakaian kerja ibu dan ayah untuk satu minggu digosok semua sekali pada satu masa.

Menggosok pakaian terlalu kerap dalam masa-masa berlainan akan menyebabkan banyak penggunaan elektrik untuk memanaskan plat pemanas seterika semasa ia dihidupkan.

Gunakan seterika jenis wap. Wap air panas akan masuk ke dalam serat-serat fabrik dan dan melembutkannya, sementara itu plat panas pula melicinkan permukaan kain dengan cepat. Jadi ia lebih menjimatkan masa dan tenaga elektrik untuk menggunakan seterika.

Gunakan sterika yang mempunyai lapisan teflon atau seramik pada permukaan plat pemanas seterika kerana sebaran haba lebih sekata dan menjadikan ia lebih efisyen menggunakan tenaga elektrik.

 

5. Mesin basuh

Jika hendak membasuh pakaian, tunggulah sehingga penuh dahulu barulah mulakan basuhan.

Tetapi elakkan penggunaan mesih basuh yang terlebih muatan (overload). Selain hasil cucian yang kurang bersih ia juga mengakibatkan penggunaan tenaga elektrik yang berlebihan.

 

6. TV dan TV decoder

Semasa tidak menonton tv, matikan suis elektrik di soket tv dan dekoder. Jika dibiarkan dalam standby mode sahaja, arus elektrik akan terus mengalir ke dalam peralatan ini.

 

Ikuti juga video di bawah ini yang menerangkan secara ringkas dan mudah difahami bagaimana cara-cara menjimatkan penggunaan elektrik.

Tip jimat elektrik ini semuanya mudah-mudah sahaja bukan? Sesiapa saja boleh lakukan dan kita boleh didik anak-anak kita sejak kecil lagi untuk menjimatkan penggunaan elektrik.

Janganlah pula sampai anda terpengaruh dengan petua-petua pelik untuk menjimatkan elektrik, seperti tampalkan tuala wanita atau kad ajaib pada kotak fius atau meter elektrik. Ia bukan saja menampakkan ada seorang yang tidak cerdik lagi pelik, tetapi sebenarnya anda hanya mengkayakan penjual produk-produk ajaib ini sahaja.

Sumber rujukan:
FB page TNB Care Line
FB page TNB Buzz
dan lain-lain

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *