fbpx

Cara lajukan komputer lama yang semakin lembab dan perlahan tanpa perlu pecah tabung simpanan

Komputer yang laju, cepat dihidupkan, dan lancar menyimpan data, menjadi idaman bagi mereka yang bekerja menggunakan komputer setiap hari. Ciri penting ini membolehkan banyak kerja dapat disiapkan cepat dengan hati yang tenang dan aman.

Walau bagaimanapun, lama kelamaan prestasi komputer boleh jadi semakin menurun dan perlahan. Ini disebabkan oleh pelbagai faktor, seperti korupsi data perisian atau sistem operasi, komponen komputer yang semakin luput jangka hayatnya, dan pelbagai lagi sebab.

Solusi paling mudah untuk masalah ini ialah dengan membeli komputer baru dengan spesifikasi terkini. Walau bagaimanapun, ini agak membazir jika komputer tersebut masih lagi boleh digunakan tanpa ada sebarang masalah lain.

Sebenarnya, ada 3 cara yang anda boleh lakukan untuk meningkatkan kembali prestasi komputer lama tanpa perlu berbelanja besar.

 

1. Kemaskini aplikasi dan fail dalam pemacu hard disk komputer

Lakukan semakan dan buang aplikasi serta fail yang tidak diperlukan lagi. Kemudian, buat proses defragment yang akan menyusun data-data dalam pemacu hard disk. Ini akan membuatkan fail-fail sistem operasi dan aplikasi dapat dicapai dengan mudah oleh pemproses dan menjadikan komputer sedikit lebih cepat berbanding sebelumnya.

Kiri: Hard disk drive (HDD) bersaiz 3.5 inci untuk komputer desktop. Kanan: HDD bersaiz 2.5 inci untuk komputer laptop. Kedua-duanya menggunakan sambungan serial ATA (SATA).

 

2. Tambah kapasiti RAM

Anda perlu dapatkan RAM yang serasi dengan model komputer anda. Bagi komputer lama, kenal pasti jenis RAM generasi terdahulu (DDR, DDR2, atau DDR3) dan dapatkan RAM terpakai yang banyak dijual di Shopee atau Lazada pada harga berpatutan.

Cari RAM terpakai di    Shopee Lazada

Apabila kapasiti RAM bertambah, lebih banyak data dapat dimuatkan di dalamnya untuk diproses dengan cepat dan lebih banyak aplikasi dapat dibuka serentak dengan lancar. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna lagi banyak jumlah RAM dalam komputer, lebih laju komputer itu dapat beroperasi. Tambahan pula, biasanya papan induk komputer mempunyai had sokongan kapasiti RAM tertentu.

 

3. Ganti HDD kepada solid state drive (SSD)

Menggantikan HDD kepada SSD membolehkan komputer lama menjadi lebih laju berkali ganda daripada sebelumnya.

SSD lebih laju daripada HDD kerana SSD tidak mempunyai bahagian mekanikal yang bergerak seperti HDD, iaitu motor yang menggerakkan cakera di dalam HDD. Jadi SSD tidak mengeluarkan bunyi, kurang melepaskan haba, kurang menggunakan kuasa elektrik, dan lebih tahan lama berbanding HDD.

Di pasaran sekarang, terdapat beberapa jenis SSD seperti gambar di bawah.

 

 

SATA SSD adalah yang paling biasa dipasang pada komputer lama kerana ciri sambungannya sama dengan HDD. Ketika ini, harganya masih berpatutan, dari sekitar RM80 ke atas mengikut jenama dan kapasiti storan.

Percubaan menggantikan HDD kepada SATA SSD untuk sebuah laptop berusia lebih 10 tahun berjaya membuktikan ia beroperasi lebih laju daripada sebelumnya. Bolehlah diberikan kepada anak-anak untuk belajar dan hadir kelas atas talian PdPR.

SSD 120GB terpakai ini dibeli dengan harga RM30 seunit. Kalau anda pandai cari, mungkin boleh dapatkan SATA SSD terpakai yang murah di Shopee atau Lazada.

SSD Murah di Shopee SSD Murah di Lazada

Untuk menukar HDD kepada SSD, satu perkara yang perlu diambil kira ialah tentang sistem operasi, driver hardware, dan fail-fail yang terdapat dalam HDD lama. Dengan kaedah pengklonan, anda tidak perlu lagi risau tentang semua ini. Anda cuma perlu dapatkan SSD dengan kapasiti yang sama atau lebih besar daripada kapasiti HDD yang mahu diganti.

Bagi komputer desktop, anda hanya perlukan kabel SATA tambahan untuk melakukan proses pengklonan ini. Bagi komputer laptop pula, anda memerlukan kabel USB-to-SATA.

Kabel SATA
Kabel USB-to-SATA

Jom tonton video di bawah tentang cara bagaimana untuk tukar HDD kepada SATA SSD bagi komputer lama.

Selepas penggantian kepada SSD selesai, masa untuk boot Windows 10 cuma sekitar 10 hingga 15 saat sahaja, berbanding 40 saat atau lebih semasa menggunakan HDD. Masa membuka aplikasi dan menyimpan fail kerja juga 50% (atau lebih) lebih laju.

Anda boleh lakukan sendiri penggantian ini di rumah atau di pejabat. Walaupun nampak macam agak teknikal tetapi sebenarnya ia mudah sahaja. Selamat melajukan komputer anda!

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *