fbpx

Minyak masak pun kena fitnah? Ambil tahu fakta sebenar tentang minyak masak paket

Sesetengah orang menyangkakan yang minyak masak paket plastik 1 kilogram adalah minyak masak kitar semula. Ini kerana harganya yang murah di pasaran berbanding minyak masak di dalam botol. 

Sebenarnya, minyak masak dalam paket plastik 1 kilogram adalah minyak masak yang dijual dengan harga subsidi dan dikawal oleh kerajaan.

Manakala minyak masak di dalam botol adalah tidak dikawal oleh kerajaan dan terpulang kepada pengeluar untuk menentukan harganya berdasarkan pasaran semasa.

Posting di laman Facebook ‘KPDNHEP Laman Rasmi’ pada 20 Januari 2021

Dari segi kos, untuk mengitar semula minyak masak terpakai supaya menjadi minyak masak yang baru, kosnya adalah sangat tinggi. Kalau ia dilakukan sekalipun, pengilang tidak dapat menjual dengan harga subsidi seperti di pasaran. Lebih-lebih lagi perbuatan ini menyalahi undang-undang dan berbahaya untuk kesihatan. Jadi sangatlah tidak berbaloi untuk minyak masak terpakai diproses semula untuk menjadi minyak masak baru.

Gambar oleh BERNAMA, petikan dari www.nst.com.my

Minyak masak paket plastik berkualiti rendah?

Sebagaimana yang telah dijelaskan tadi, harga minyak masak paket plastik 1 kilogram adalah lebih murah disebabkan oleh subsidi daripada kerajaan. 

Dua jenis kualiti minyak masak sawit yang banyak terdapat di pasaran negara kita ialah CP6 dan CP8. CP atau cloud point (titik awan), merujuk kepada nilai kekeruhan minyak masak.

Minyak masak berkualiti CP8 kelihatan sedikit gelap dan mempunyai titik awan yang lebih tinggi daripada minyak masak berkualiti CP6. Minyak masak dengan titik awan lebih tinggi akan kelihatan keruh dan lebih cepat membeku apabila suhu menurun.

Minyak masak paket tidak semestinya berkualiti rendah daripada minyak masak botol. Kebanyakan pengeluar menggunakan minyak masak dengan kualiti CP8 yang sama untuk minyak dalam paket dan dalam botol keluaran mereka.

Oleh yang demikian, dakwaan yang mengatakan minyak masak paket 1 kilogram adalah minyak kitar semula juga adalah tidak berasas. Kerajaan Malaysia hanya meluluskan lesen mengitar semula minyak masak untuk dijadikan bahan lain seperti sabun, bahan api atau makanan haiwan sahaja.

Semoga pencerahan ini dapat memberikan penjelasan kepada anda tentang hakikat sebenar minyak masak dalam paket plastik. Kepada anda yang selalu menggoreng makanan, jangan pula guna minyak masak itu berulang-ulang kali sebab ia bahaya pada kesihatan.

 

Rujukan: Facebook KPDNHEP | The New Strait Times

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *