fbpx

Ambil tahu sejarah bendera putih: Kenapa dan sejak bila ia mula dikibarkan?

Bendera putih

Pasti anda sudah tahu tentang bendera putih yang dikibarkan sebagai tanda menyerah kalah di dalam peperangan. Mungkin anda pernah lihat di dalam rancangan kartun bersiri Tom and Jerry semasa zaman kanak-kanak dulu, bendera putih dikibarkan untuk menyerah kalah dalam pergaduhan dan sakat-menyakat sesama mereka.

Tahukah anda tentang asal-usul bendera putih ini? Mengapakah bendera putih menjadi simbol menyerah kalah dan sejak bila ia digunakan?

Bendera putih sudah digunakan sejak zaman dahulu lagi

Pada zaman Empayar Rom, sejarawan Cornelius Tacitus menyebutkan penggunaan bendera putih sebagai isyarat menyerah kalah di dalam bukunya berjudul Histories pada tahun 109 Masihi. Munculnya isyarat tersebut merujuk pada Pertempuran Cremona Kedua yang terjadi diantara bangsa Vitellia dan Vespasia pada tahun 69. Sebelum itu, tentera-tentera Rom akan memegang perisai di atas kepala mereka sebagai tanda menyerah kalah.

Tradisi ini dipercayai telah berkembang meluas di timur dan barat. Terdapat juga bukti penggunaan isyarat bendera putih ketika era Dinasti Han di China sekitar tahun 25 hingga 220 Masehi.

Ramai ahli sejarah bersependapat bahawa warna putih digunakan kerana ia jelas kelihatan di tengah-tengah pertempuran. Teknologi pewarnaan kain pada zaman dahulu  juga masih perlahan, menjadikan kain putih lebih mudah didapati.

Lord Cornwallis menyerah kalah kepada pasukan penjajah Perancis dan Amerika setelah pertempuran di Yorktown pada tahun 1781.

Pada peperangan-peperangan era moden juga, bendera putih masih digunakan. Selain sebagai simbol menyerah kalah, ia juga digunakan sebagai simbol gencatan senjata dan perundingan di antara dua pihak yang berperang. Ketika sedang berlaku peperangan, utusan tentera mengibarkan bendera putih supaya tidak diganggu ketika sedang mengumpulkan tentera-tentera yang terkorban dan juga yang tercedera.

Mengibarkan bendera putih sebagai simbol menyerah kalah telah dipakati diperingkat global di dalam Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa dan telah dikanunkan di dalam Konvensyen Geneva. Tentera yang mengibarkan bendera putih adalah dilarang untuk dibunuh.

Leftenan General Arthur Percival berjalan sambil memegang bendera putih sebagai simbol menyerah kalah kepada pihak tentera Jepun pada 15 Februari 1942.
Tentera Australia memegang bendera putih sedang mencari tentera-tentera yang cedera di Western Front semasa perang dunia pertama.

Selain peperangan, bendera putih juga digunakan oleh sesetengah masyarakat di Asia sebagai simbol kedukaan atas kematian ahli keluarga. Di China, warna putih dikaitkan dengan kematian dalam budaya mereka dan digunakan dalam upacara pengebumian.

Di Indonesia pula, bendera berwarna putih digunakan di beberapa wilayah seperti di Kebumen, Jogjakarta dan Makassar, apabila ada kematian. Warna putih bermaksud orang yang meninggal dunia itu sudah kembali suci dan bersih.

Budaya ini juga ada di Malaysia. Mengibarkan bendera putih menjadi satu hebahan menandakan berlakunya kematian di kawasan Kuala Muda, Penaga, Pulau Pinang. Bagi masyarakat di sana, bendera putih dikibarkan untuk memaklumkan kepada penduduk setempat ada berlaku kematian dan pada masa sama ada jenazah yang akan dikebumikan. Idea ini timbul apabila maklumat mengenai kematian tidak sampai ke pengetahuan penduduk secara meluas.

Bendera putih dikibarkan untuk memberitahu penduduk setempat ada berlaku kematian di Kuala Muda, Pulau Pinang. (Foto dipetik daripada Sinar Harian)

Pandemik Covid19 yang melanda dunia sejak awal tahun 2020 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan telah menyebabkan ramai rakyat negara ini terhimpit dengan masalah kewangan. Satu kempen dilancarkan di media sosial untuk menukarkan gambar profail kepada gambar bendera putih sebagai simbol solidariti dan juga mengibarkan bendera putih di hadapan rumah jika sedang mengalami kesusahan.

Seorang lelaki memasang bendera putih di hadapan rumahnya, kemudian menerima bantuan daripada jiran-jiran dan orang ramai. (Foto dipetik daripada Facebook)

Tujuan kempen ini adalah supaya rakyat saling mengambil berat antara satu sama lain serta membantu saudara, jiran atau rakan-rakan mereka yang sedang dalam kesusahan. Turut dilaporkan di dalam media sosial, seorang lelaki yang sedang dalam kesusahan akibat kehilangan sumber mata pencarian ketika pandemik ini melanda memasang bendera putih di hadapan rumahnya. Beliau yang sudah buntu untuk mencari jalan bagi mendapatkan bekalan makanan kemudiannya menerima bantuan daripada jiran-jiran dan orang ramai yang prihatin.

 

Rujukan:

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *