fbpx

Cara mulakan perniagaan sendiri: Ini ilmu penting dan berguna yang perlu anda pelajari, sebab ramai orang keliru

Berniaga adalah suatu pekerjaan yang mulia. Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa 9 daripada 10 punca rezeki ialah melalui perniagaan.

Walaupun status hadis ini dhaif, berniaga adalah suatu pekerjaan yang terpuji kerana pekerjaan ini dapat membantu ramai orang, sama ada kepada yang menjual atau yang membeli. Para ulama’ merekodkan yang Nabi Muhammad SAW adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya. Begitu juga dengan sahabat-sahabat Nabi seperti Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, dan ramai lagi.

Semasa seluruh dunia dilanda wabak COVID-19, ramai orang yang kehilangan pekerjaan. Dalam masa yang mencabar ini, ada sebahagian daripada mereka yang menjadi bidan terjun dalam perniagaan dengan berniaga makanan, menjual pakaian, aksesori, dan sebagainya, demi untuk terus menyara diri dan keluarga.

Jadi tak dinafikan, berniaga adalah suatu pekerjaan yang sangat bermakna, yang bukan sahaja dapat menampung kehidupan sehari-hari, malah berpotensi untuk mengubah hidup supaya menjadi lebih baik.

Jika anda bercita-cita untuk berniaga atau memang sedang berniaga, tak kiralah sama ada secara sepenuh masa atau secara sambilan, ada satu ilmu ini yang sangat bermanfaat dan berguna untuk anda pelajari.

Ilmu ini boleh membantu anda untuk memulakan perniagaan, menjadi panduan anda sepanjang masa berniaga, dan juga untuk mengembangkan perniagaan anda ke peringkat yang seterusnya.

Ilmu ini dinamakan pemasaran, atau lebih popular disebut dalam Bahasa Inggeris iaitu marketing. Dalam artikel ini, anda akan tahu secara ringkas tentang apa itu marketing.

Tapi sebelum itu…

Kenapa anda perlu belajar marketing?

Marketing ini ibarat jantung dalam perniagaan yang membuatkan sesuatu perniagaan itu boleh terus hidup, bertahan, dan berkembang.

Seperti mana jantung yang mengepam darah ke seluruh badan yang membolehkan anda terus kekal bernyawa, aktiviti marketing-lah yang akan sentiasa membawa pelanggan kepada perniagaan anda untuk melakukan urusan jual beli yang boleh memberikan keuntungan.

Apabila tiada aktiviti marketing yang dilakukan, mustahil untuk pelanggan datang. Apabila tiada pelanggan bermakna tiadalah duit. Apabila tiada duit, perniagaan boleh melingkup, bungkus, dan bankrap! Mohon dijauhkan.

Ilmu marketing ini juga sebenarnya berguna bagi mereka yang tidak menjalankan perniagaan. Apabila anda tahu tentang marketing, anda boleh buat tindakan yang sewajarnya dalam urusan seharian, terutamanya yang melibatkan urusan jual beli.

Sebab hari ini anda sentiasa hidup dikelilingi marketing. Setiap hari anda terdedah dengan pelbagai elemen marketing seperti;

  • jenama baju atau tudung yang anda suka pakai tu,
  • tayangan iklan yang anda nampak di merata-rata tempat,
  • promosi diskaun barangan yang anda teringin sangat nak beli,
  • kawan-kawan yang cuba ajak anda makan di restoran yang baru dibuka,
  • anda menjawab soal selidik tentang produk yang pernah dibeli sebelum ini, dan banyak lagi.

Salah faham tentang marketing

Apabila menyentuh tentang marketing, ada satu perkara yang orang ramai selalu keliru. Ada yang menganggap apabila sudah buat iklan di Facebook dan Google, atau selesai tampal poster, gantung banner, dan edar fliers di merata-rata tempat, maka anda kata sudah buat kerja marketing.

Sebenarnya, apa yang anda buat itu hanyalah kerja-kerja pengiklanan, atau dalam Bahasa Inggeris ialah advertising, yang merupakan sebahagian sahaja daripada keseluruhan aktiviti marketing.

Pendek kata, marketing bukanlah advertising semata-mata. Advertising hanyalah sebahagian daripada kerja-kerja marketing.

Hakikatnya, ada banyak lagi kerja-kerja yang perlu dilakukan dalam marketing. Ini kerana marketing itu adalah suatu proses yang berterusan, yang bermula daripada sebelum sesuatu produk itu dihasilkan, sehinggalah tamat jangka hayat produk tersebut dan akhirnya dilupuskan.

Antara kerja-kerja marketing selain daripada pengiklanan adalah seperti;

  • kajian pasaran,
  • pengumpulan data pelanggan,
  • pengurusan jenama,
  • tanggungjawab sosial korporat,
  • penajaan,
  • pengurusan khidmat pelanggan, dan banyak lagi.

Boleh dikatakan seluruh aktiviti perniagaan adalah berkait tentang marketing. Nampak macam banyak sungguh skop kerja dalam bidang marketing ni, kan?

Sebab itulah dalam syarikat-syarikat besar, mereka ada jabatan khas yang merancang dan melaksana semua aktiviti marketing syarikat mereka.

Tapi rileks-lah.

Bagi usahawan kecil dan bagi mereka yang baru mula nak berniaga, anda tak perlulah sampai pening kepala mahu fikirkan semua perkara ni. Kita ambil tahu perkara yang asas sahaja dulu.

Perkara asas dalam marketing

Buat permulaan, apa yang anda perlu tahu tentang marketing ialah anda perlu…

tawarkan produk yang sesuai, dengan harga yang sepadan, di tempat yang sepatutnya, pada masa yang tepat.

Mudah sahaja kan?

Persoalannya disini ialah;

  • anda nak jual apa?
  • jual kepada siapa?
  • berapa harga jualannya?
  • mahu jual di mana?
  • bila masa yang sesuai untuk menjual?
  • bagaimana nak beritahu orang ramai apa yang anda jual tu?

Untuk jawab persoalan ini anda kena tahu elemen asas marketing yang terdiri daripada 4 P, yang merujuk kepada Product, Price, Place, dan Promotion.

1 – Product (produk) adalah apa yang anda tawarkan kepada bakal pelanggan anda. Ia boleh jadi suatu barangan atau pun perkhidmatan.

Untuk mendapat keuntungan yang berterusan, anda perlulah menjual produk yang sentiasa dicari oleh orang ramai, yang dapat memenuhi keperluan atau kehendak mereka.

2 – Price (harga) merupakan nilai yang perlu dibayar oleh pelanggan untuk dapatkan produk yang anda tawarkan. Harga adalah suatu elemen yang sensitif.

Anda perlu letakkan harga yang boleh buatkan pelanggan rasa berbaloi untuk beli produk anda, dan pada masa sama anda dapat keuntungan setimpal dengan segala usaha yang telah anda lakukan.

3 – Place (tempat) merujuk kepada lokasi atau cara bagaimana pelanggan boleh dapatkan produk anda.

Dalam dunia perniagaan yang banyak persaingan, satu cara untuk menawan hati pelanggan adalah dengan memudahkan mereka untuk dapatkan produk anda. Ini boleh dilakukan sama ada secara offline (kedai, pasaraya, pandu lalu, dan sebagainya) atau online (laman sesawang, media sosial, emel, dan sebagainya).

4 – Promotion (promosi) adalah untuk memberitahu orang ramai tentang kewujudan produk anda dan juga untuk meningkatkan jualan.

Membuat aktiviti promosi adalah penting dalam perniagaan kerana aktiviti ini dapat memperkenalkan orang ramai kepada perniagaan anda, terutama sekali bagi perniagaan yang baharu. Disinilah fungsinya menggantung banner dan mengedar fliers di kawasan yang banyak trafik orang ramai dan mengiklan di Google serta Facebook.

Apabila anda sudah tahu tentang 4 P ini, anda seharusnya sudah boleh mendapat idea dan merancang sedikit sebanyak perniagaan apa yang anda mahu ceburi. Disamping itu, anda juga dapat merangka langkah-langkah yang perlu dibuat untuk kekal bertahan dan seterusnya berkembang dalam bidang yang mencabar tapi berbaloi ini.

Secara kesimpulannya, berniaga adalah suatu pekerjaan yang mulia. Kerja-kerja marketing adalah penting dan perlu berterusan supaya perniagaan dapat bertahan dan seterusnya berkembang. Ada banyak lagi kerja-kerja marketing yang perlu dilakukan selain daripada membuat iklan. Dengan mengetahui elemen asas marketing yang terdiri daripada 4 P, boleh membantu anda dalam merancang perniagaan anda.

Baca juga tentang ini…

Cara berniaga makanan secara atas talian: Bagaimana menjual produk makanan ke seluruh negara & hantar ke tempat jauh

Strategi harga murah: 3 soalan penting untuk usahawan jika mahu guna strategi ini dalam perniagaan

 

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *