fbpx

Teknik Pomodoro bantu anda kekal fokus dan tingkatkan produktiviti kerja anda

Adakah anda mempunyai masalah untuk menjadi seorang yang produktif? Seringkali mempunyai masalah untuk menyiapkan kerja dengan baik? Teknik Pomodoro boleh membantu anda meningkatkan produktiviti dan membantu anda untuk menyiapkan kerja dengan beberapa langkah mudah.

Teknik Pomodoro adalah kaedah pengurusan masa yang dapat meningkatkan tumpuan dan produktiviti anda. Teknik ini menggalakkan anda untuk bekerja dalam masa yang anda ada, dan bukan bergelut dengan kerja anda.

Teknik Pomodoro dicipta oleh Francesco Cirillo pada akhir 1980-an iaitu semasa beliau belajar di universiti. Cirillo menyiapkan sesuatu kerja dengan membahagikan masa kerjanya diselang-selikan dengan masa rehat. Beliau memperuntukkan masa sebanyak 25 minit untuk membuat kerja dan 5 minit rehat dan menyambung semula kerjanya dalam 25 minit dan seterusnya.

Francesco Cirillo (Gambar dipetik dari francescocirillo.com)

Nama pomodoro diambil daripada bahasa Itali yang bermaksud tomato, yang merujuk kepada Cirillo yang menggunakan jam tomato untuk membahagikan masanya.

Untuk mempraktikkan teknik pomodoro ini, anda memerlukan jam randik atau fungsi pemasa (timer) dalam telefon pintar, kertas, dan pensel.

Anda perlu menetapkan tugasan apa yang perlu disiapkan dalam sejam atau dua jam ini.

Peringatan! Hanya satu tugasan sahaja yang perlu dipilih untuk membolehkan anda fokus dengan satu sahaja kerja.

Selepas itu, anda perlu buang semua jenis gangguan daripada pandangan anda contohnya telefon bimbit, atau matikan sambungan internet dalam telefon bimbit anda.

Tetapkan masa dalam 25 minit atau apa yang anda inginkan, dan mula buat kerja anda dengan fokus dan tenang. Jika anda ada teringat apa-apa selain kerja anda yang anda kira penting, senaraikan dalam kertas yang disediakan tadi.

Setelah sampai waktu untuk berehat, paksa diri anda untuk berhenti dari melakukan kerja anda dan berehatlah selama 5 minit. Anda boleh bangun dan melakukan regangan badan, minum air dan buat apa yang tertulis dalam kertas tadi.

Setelah tamat 5 minit, sambung kerja anda dan ulang proses ini sehingga tamat 4 sesi pomodoro, yang mana anda akan berehat selama 20-30 minit setiap 4 sesi pomodoro.

Selain guna jam randik atau telefon pintar, anda juga boleh terus klik laman web ini yang ada fungsi Tomato Timer atau Pomodoro Tracker. Di YouTube pun ada video yang boleh berfungsi sebagai jam Pomodoro anda.

Nak lagi nampak “fancy”? Anda juga boleh dapatkan jam tomato yang nampak comel ini.

Cari di Shopee Cari di Lazada

Secara ringkasnya, teknik ini dilaksanakan seperti berikut:

  1. Tentukan kerja yang perlu dilakukan.
  2. Tetapkan pemasa pomodoro.
  3. Bekerja pada tugas.
  4. Tamatkan kerja apabila pemasa berbunyi
  5. Ambil rehat pendek (3-5 minit), kemudian pergi ke langkah 2.
  6. Selepas empat pomodoros, berehat lagi (15-30 minit), kemudian pergi ke langkah 2 jika kerja anda masih belum siap.

Terdapat banyak kebaikan dalam Teknik Pomodoro ini. Secara kasarnya, ya, anda menjadi seorang yang produktif dan mampu melakukan kerja dengan lebih efisien. Sebagai contoh, jika sebelum ini anda hanya mampu mengulang kaji sehingga 2 jam sehari, anda boleh meningkatkan masa ulang kaji anda sehingga 5 jam dengan menggunakan teknik ini.

Anda juga akan lebih segar dan bertenaga selepas melakukan kerja kerana rehat yang anda ambil. Anda akan berasa kurang ‘blur’ dan kurang sakit-sakit sendi dan badan. Anda juga akan lebih fokus kepada satu sahaja tugasan dan akan kurang tertarik dengan gangguan luar.

Teknik ini telah terbukti berjaya mengubah cara hidup dan cara bekerja ramai orang. Namun ia juga terpulang kepada anda untuk melaksanakan teknik ini dengan jayanya. Disiplin diri juga adalah kunci dalam melaksanakan teknik ini untuk menjadi orang yang lebih produktif dan efisien.

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *