fbpx

TIP-TIP BELAJAR SECARA ATAS TALIAN DI RUMAH

Artikel ini ditulis sehari sebelum USIM memulakan semester pengajian secara atas talian pada 1 Jun 2020, ketika wabak pandemik COVID-19 melanda dunia. Kampus ditutup bermula pertengahan bulan Mac 2020 dan semua institusi pengajian awam diwajibkan untuk mengadakan pembelajaran di atas talian.

Pelajar universiti adalah antara aset negara yang paling berharga. Walaupun tidak berada di kampus, tidak bermakna pelajar tidak dapat belajar secara efektif dan berkesan. Wawasan 2020 tidak semestinya menjadi anganan kosong kerana wawasan itu berada di dalam diri anda sekalian.

Saya kongsikan beberapa tip yang boleh anda ikuti di rumah ketika menyambung pengajian untuk semester baru ketika wabak COVID-19 ini.

SEDIAKAN TEMPAT BELAJAR YANG IDEAL

  • Seboleh-bolehnya, sediakan ruang khas untuk anda belajar setiap hari serta kerusi dan meja yang sesuai untuk anda menulis dan meletakkan komputer (laptop atau desktop). Paling baik ialah kerusi ergonomik yang boleh dilarasi ketinggiannya, jika tiada, kerusi biasa yang mempunyai penyandar juga sudah bagus.
  • Anda boleh duduk tegak dan bersandar di atas kerusi seperti ini. Postur badan yang betul akan mengurangkan beban otot leher dan belakang ketika duduk belajar untuk waktu yang lama. Sediakan pelapik kaki untuk merehatkan kaki anda jika kaki anda tergantung dan tidak selesa.
  • Pencahayaan dan pengudaraan yang baik adalah antara kriteria tempat belajar yang ideal.
  • Jika anda tidak mempunyai ruang belajar khas sendiri, boleh juga menggunakan ruang di meja makan.
  • Duduk di atas bangku tanpa pengandar, bersila di atas lantai atau belajar sambil duduk di atas sofa sambil menatap komputer riba untuk waktu yang lama, boleh menyebabkan postur badan yang tidak betul dan mengakibatkan sakit otot leher dan otot belakang.
    (Belajar di atas sofa ruang tamu sambil menghadap TV setiap hari, adalah resipi kemudaratan wawasan pembelajaran anda)

RANCANG AKTIVITI PEMBELAJARAN ANDA DI RUMAH

  • Susun jadual harian anda menurut jadual pembelajaran atas talian yang telah disediakan. Samada pembelajaran segerak (synchronous learning), atau pembelajaran kendiri (asynchronous learning).
  • Semak jadual yang disediakan oleh pensyarah pada waktu malam sebelum tidur, dan rancang jadual/aktiviti anda untuk keesokan harinya.
  • Senaraikan perkara yang perlu dilakukan, seperti: menyiapkan tugasan yang perlu dihantar, perbincangan dengan rakan sekelas, kuiz yang perlu diambil, membaca artikel dan lain-lain aktiviti pembelajaran

.

  • Sekiranya anda mempunyai kelas secara langsung menggunakan Teams Meeting (atau Zoom, Google Meeting, Sykpe) bersama pensyarah, pastikan anda membuat persediaan awal paling kurang 1 jam sebelum, untuk membaca bahan yang berkaitan. Sepuluh minit sebelum kelas atas talian bermula, pastikan sistem aplikasi, alatan kamera web dan mikrofon berfungsi dengan baik (sekiranya diperlukan) atau slide PowerPoint untuk persembahan ketika kelas sudah tersedia rapi.

FOKUS DAN DISIPLIN DIRI

Ini adalah perkara yang paling penting untuk memastikan kaedah dan wawasan pembelajaran atas talian anda di rumah menjadi lebih efektif.

  • Memulakan jadual harian anda pada pagi hari sesudah bersiap mandi dan bersarapan, seperti hari-hari anda datang ke kampus (atau hospital bagi pelajar perubatan klinikal). Semak kembali senarai aktiviti pembelajaran anda, Kemaskini jadual anda di awal pagi sekiranya ada perubahan masa kelas atas talian.
  • Tetapkan masa yang khusus untuk satu-satu aktiviti pembelajaran dan berhenti rehat sebentar pada waktu yang kerap dan tetap. Ini membantu anda menjadi lebih fokus. Contohnya: setkan penggera telefon selama 1 jam untuk menyediakan tugasan tertentu atau 1 jam untuk membaca artikel. Berhenti rehat selama 5 – 10 minit, dan selepas itu kembali setkan penggera untuk 1 jam bagi aktiviti seterusnya atau menyambung aktiviti sebelum tadi.
  • Letakkan telefon pintar anda jauh daripada meja anda belajar untuk mengurangkan gangguan fokus (dan anda perlu bangun untuk mematikan penggera selepas 1 jam)
  • Aktiviti ketika rehat 5-10 minit tersebut, anda boleh melakukan pelbagai perkara seperti:
    • melihat dan menjawab mesej penting
    • melakukan regangan dan senaman (contoh: lari setempat, lunges, jumping jack, plank, sit-up atau ketuk-ketampi)
    • menunaikan solat sunat Dhuha (ketika belajar di waktu pagi)
    • menyudahkan kerja-kerja rumah (mengemas meja studi atau bilik tidur, menyidai kain, menyapu sampah dan lain-lain – perlu dilakukan dengan cekap dan pantas)
      (Awasi masa rehat anda. Kembali ke meja studi selepas 10 minit masa rehat belajar)
  • Waktu rehat yang lebih panjang boleh diperuntukkan (1-2 jam) ketika waktu tengah hari untuk makan tengah hari, solat Zuhur, tidur sebentar dan menyiapkan kerja-kerja rumah yang masih ada.
  • Mematikan bunyi notifikasi aplikasi email, mesej atau media sosial ketika memulakan aktiviti pembelajaran harian anda.
  • Disiplinkan diri untuk tidak membuka media sosial di laman web di komputer,
  • Anda boleh mendengar muzik instrumental (seperti Mozart atau Kitaro), bacaan Al Quran dan qasidah dengan bunyi yang minima atau sederhana kuat untuk membantu anda fokus belajar dan mengurangkan gangguan luar.
  • Sediakan minuman air kosong berhampiran anda, untuk mengingatkan anda perlu minum dengan kerap bagi kekal terhidrasi (sekurang-kurangnya 2 liter sehari.)
  • Berhenti rehat untuk solat fardu di awal waktu.
  • Khaskan waktu tertentu sahaja untuk melayari media sosial (contoh: selepas 6 petang ) dan menerusi aplikasi di telefon sahaja, bukan di komputer (supaya anda mendisiplinkan diri tidak melayari media sosial ketika aktiviti pembelajaran dengan komputer)
    Kredit: Dr Hilmi Lockman
  • Peruntukan masa untuk bersenam setiap hari, pada awal pagi atau petang. Senaman yang tetap dan kerap, sekurang-kurangnya 20-30 min setiap hari dapat membantu anda fokus, memperbaiki memori dan meningkatkan daya kreativiti anda untuk jangka panjang.
  • Melihat kembali aktiviti pembelajaran yang anda sudah lalui hari itu pada waktu lewat petang atau malam. Ucap tahniah pada diri sendiri atas tugasan yang berjaya disiapkan dengan baik, ilmu baru yang sudah anda pelajari dan masa yang dimanfaatkan dengan efektif. Kemudian anda boleh menyemak jadual esok hari pula. Dan begitulah seterusnya.

Rehat, senaman dan regangan itu penting kerana masalah kesihatan boleh berlaku:
1. Aktiviti menaip, menggunakan tetikus dengan kadar yang lama dan kerap, boleh mendatangkan masalah Carpal tunnel syndrome iaitu saraf median (median nerve) yang terhimpit di sendi pergelangan tangan yang mengakibatkan kebas, lenguh dan sakit pada tangan.

2. Mata yang keletihan kerana mata menumpu kepada skrin computer pada waktu yang lama.
3. Kerosakan saraf pendengaran pada jangka panjang kerana penggunaan earphone yang terlalu kuat pada waktu yang lama.
4. Sakit kepala (Tension-type headache atau serangan migrain) kerana mata terlalu tertumpu kepada skrin, tidak cukup tidur atau stress.
5. Sakit otot belakang atau leher kerana duduk dengan postur yang tidak betul untuk waktu yang lama.

Jika berlaku masalah sedemikian, dapatkan nasihat doktor dan lihat kembali habit dan cara kerja anda. Kata kuncinya adalah: KESEIMBANGAN.

Semoga janji anda kepada ibunda dapat diteruskan dengan jayanya, demi mencapai Wawasan 2020.

Allah Yuftah’Alaikum

Wallahua’lam

RUJUKAN DAN BACAAN LANJUT

Postur duduk yang baik

Jia B, Nussbaum MA. Influences of continuous sitting and psychosocial stress on low back kinematics, kinetics, discomfort, and localized muscle fatigue during unsupported sitting activities. Ergonomics. 2018;61(12):1671‐1684. doi:10.1080/00140139.2018.1497815

Edmondston SJ, Chan HY, Ngai GC, et al. Postural neck pain: an investigation of habitual sitting posture, perception of ‘good’ posture and cervicothoracic kinaesthesia. Man Ther. 2007;12(4):363‐371. doi:10.1016/j.math.2006.07.007

National Health Service United Kingdom.. Health Body: How to sit at your desk correctly.
18 July 2019. https://www.nhs.uk/live-well/healthy-body/how-to-sit-correctly/

Senaman dan fungsi kognitif

Laura Mandolesi, Arianna Polverino, Simone Montuori, et al. Effects of Physical Exercise on Cognitive Functioning and Wellbeing: Biological and Psychological Benefits. Front. Psychol., 27 April 2018 | https://www.frontiersin.org/articles/10.3389/fpsyg.2018.00509/full

Jennifer J. Heisz, Ilana B. Clark, Katija Bonin. The Effects of Physical Exercise and Cognitive Training on Memory and Neurotrophic Factors Journal of Cognitive Neuroscience 2017 29:11, 1895-1907 https://www.mitpressjournals.org/doi/abs/10.1162/jocn_a_01164

 

Dr Hana Maizuliana Solehan
Pensyarah Perubatan Kanan
Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Neurologi
(Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia)

Jom kita sembang!

 

TERIMA KASIH KERANA SHARE! ;)

Ini kod kupon RM3 untuk anda.

TQSHRE20

Kod ini sah sehingga 30 Jun 2020.

Kod ini boleh digunakan bersama kod yang anda terima sebelum ini (jika ada).

Ke Kedai Konfiden