fbpx

COVID-19: Bagaimana wabak ini merebak dengan sangat pantas dan apa cara berkesan untuk mengatasinya?

Pada 11 Mac 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah pun mengisytiharkan COVID-19 sebagai wabak penyakit pandemik.

Penyakit pandemik bermaksud sesuatu penyakit itu sudah merebak ke beberapa negara dan benua, serta telah menjangkiti sekumpulan besar orang ramai.

Wabak ini telah menjangkiti beratus ribu orang dan menyebabkan ribuan kematian di seluruh dunia.

Negara Malaysia juga tidak terlepas dari berhadapan dengan krisis wabak COVID-19 ini.

Bagaimanakah wabak ini boleh merebak dengan sangat cepat?

Apa cara berkesan untuk menangani penularan penyakit ini?

Video ini ada huraiannya.

Kapasiti hospital

Seperti mana apa jua perkara dan benda di dunia ini, setiap negara mempunyai sumber yang terhad.

Dari segi kesihatan dan perubatan, setiap negara mempunyai jumlah hospital dalam bilangan tertentu sahaja. Bagi setiap hospital pula, keupayaan mereka untuk merawat berapa ramai pesakit bergantung kepada sumber yang mereka ada, terutama sekali bilangan katil pesakit.

Jangkitan wabak COVID-19 yang boleh merebak dengan senyap dan pantas menjadikan jumlah pesakit akibat jangkitan ini meningkat dengan begitu mendadak sekali, sehingga dapat mengatasi kapasiti hospital untuk merawat mereka semua.

Perlu diingat, hospital juga perlu merawat pesakit-pesakit lain seperti mangsa kemalangan jalan raya, pesakit strok, serangan jantung, asma, dan lain-lain penyakit lagi.

Begitulah yang berlaku di Korea Selatan, Iran, Itali, yang bermula dengan hanya beberapa kes COVID-19. Kemudian meningkat terus kepada beribu-ribu kes dalam masa hanya 2 minggu.

Ramai pesakit yang meninggal dunia kerana mereka tidak dapat masuk ke hospital dan mendapat rawatan sepatutnya.

Negara China yang mula-mula sekali dilanda wabak ini, sehingga terpaksa membina sebuah hospital baru hanya dalam masa 10 hari bagi menampung kenaikan jumlah pesakit yang begitu mendadak ini.

Pada ketika ini, para petugas kesihatan dan perubatan di Malaysia menjadi “orang hadapan” (frontliners) yang bertungkus lumus merawat pesakit yang sudah terkena jangkitan dan melakukan pelbagai usaha bagi menangani wabak COVID-19 daripada terus menular.

Bagaimana wabak COVID-19 boleh merebak dengan sangat cepat?

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Coronavirus 2019 atau SARS-CoV-2 yang menyebabkan penyakit COVID-19 ini boleh merebak melalui cara berikut:

… melalui titisan dari hidung atau mulut yang tersebar apabila seseorang dengan COVID-19 batuk atau bersin. Titisan ini merentasi objek dan permukaan di sekelilingnya. Orang lain kemudian mendapat jangkitan COVID-19 dengan menyentuh objek atau permukaan ini, kemudian menyentuh mata, hidung atau mulutnya. Sesorang itu juga boleh dijangkiti COVID-19 jika mereka berada dekat dengan pesakit COVID-19 yang batuk atau bersin atau melepaskan titisan.

Orang yang dijangkiti COVID-19 akan menunjukkan simptom sakit hanya selepas 14 hari. Dalam erti kata lain, mereka yang telah dijangkiti tidak akan tahu pun mereka telah dijangkiti, melainkan ujian saringan COVID-19 dilakukan keatas mereka. Dalam tempoh tersebut, coronavirus boleh tersebar daripada seorang kepada beberapa orang yang lain, yang kemudiannya berpotensi menjangkiti beratus hingga beribu orang lain pula.

Apa cara yang efektif untuk atasi penularan COVID-19?

Buat masa sekarang masih belum ada lagi ubat atau rawatan khusus untuk penyakit COVID-19. Disebabkan itu, cara paling terbaik adalah menjaga diri sendiri supaya tidak terkena jangkitan dan mengelakkan risiko menjangkiti orang lain, dengan sentiasa mengamalkan etika kebersihan yang baik seperti:

  1. Kerapkan membasuh tangan menggunakan sabun dengan cara yang betul.
  2. Gunakan hand sanitizer yang mengandungi sekurang-kurangnya 60% alkohol.
  3. Menutup mulut dengan tisu apabila batuk atau bersin.
  4. Jangan memegang mulut, hidung, atau mata apabila tangan kotor.

Selain itu, orang ramai juga diingatkan supaya menjauhi tempat-tempat yang ramai orang dan kurangkan pergerakan di luar rumah untuk perkara-perkara yang tidak penting.

Penjarakan sosial (social distancing) adalah kunci utama untuk mengekang penularan wabak COVID-19 ini.

Oleh itu, kerajaan Malaysia telah mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula dari 18 hingga 31 Mac 2020, yang kemudiannya dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

Diharapkan dengan usaha semua pihak yang terlibat, dengan kerjasama seluruh penduduk di Malaysia dalam mematuhi arahan, dapat mengurangkan wabak ini daripada terus merebak dengan tidak terkawal.

Semoga kita dapat atasi masa sukar ini bersama-sama.

Malaysia Boleh!

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *