fbpx

Tidak mengalah malah terus berevolusi, kunci Naz Jepun mampu bertahan dan kembangkan perniagan dalam musim sukar

Dalam menghadapi perniagaan di musim pandemik yang penuh pancaroba, usahawan perlu bersikap positif, kreatif dan realistik. Inilah prinsip yang sentiasa dipegang oleh pemilik perniagaan Samurai Kitchenz.

 

Bermula dengan berniaga ayam golek di gerai tepi jalan, Zainazly Hj Zainal atau dikenali dengan nama samaran Naz Jepun kini mempunyai food truck dengan lebih 9 jenis produk makanan. Walaupun dalam musim pandemik covid-19 yang serba mencabar, beliau masih mampu bertahan malah terus berusaha mengembangkan lagi perniagaannya.

Naz Jepun sebelum ini pernah menjalankan perniagaan membekal barangan sekolah dan mengusahakan kedai buku dan alat tulis di beberapa buah sekolah di Selayang, Selangor. Setelah kontrak kedai buku dan alat tulis beliau di sekolah-sekolah tamat, Naz Jepun mencuba perniagaan makanan dengan berbekalkan inspirasi tentang kisah-kisah usahawan makanan daripada buku Jutawan Senyap karya Chef Li yang pernah beliau baca.

Tanpa menoleh kebelakang lagi pada bulan Mei tahun 2012 Naz Jepun memulakan perniagaan gerai ayam golek dengan nama Ayam Golek Terbaek di Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor dengan penuh semangat dan keyakinan. Hari demi hari Ayam Golek Terbaek mula mendapat sambutan yang baik daripada penduduk di situ. Beliau turut menyertai jualan di bazar Ramadhan. Sememangnya ayam golek menjadi hidangan lauk yang sungguh enak terutamanya pada bulan puasa.

 

Naz Jepun yang pernah menuntut di universiti di negara Jepun, turut menjalankan perniagaan membawa pelancong-pelancong Malaysia ke negara Jepun mulai tahun 2015. Dengan nama perniagaan Kembara Halal Nippon, Naz Jepun menggunakan sebaik-baiknya pengalaman tinggal di Jepun dan kebolehan berbahasa Jepun yang dimilikinya agar pelancong-pelancong yang menggunakan khidmatnya menikmati keindahan negara matahari terbit itu sepuas-puasnya.

Menjalankan lebih daripada satu perniagaan serentak bukanlah suatu perkara yang mudah. Apalagi jika kedua-duanya memerlukan komitmen dan sentuhan tangan Naz Jepun sendiri. Isteri beliau, puan Roshaslina Ismail juga seorang yang sabar dan gigih, sentiasa bersama dan membantu Naz Jepun menguruskan perniagaan mereka.

Dengan anugerah bakat berniaga yang beliau ada, jualan ayam golek Naz Jepun bukan sahaja laris di gerainya, Ayam Golek Terbaek turut mendapat tempahan untuk majlis seperti perkahwinan dan rumah terbuka.

Dalam masa yang sama perkhidmatan pelancongan Kembara Halal Nippon juga mendapat sambutan bertalu-talu. Sehinggakan perniagaan ayam goleknya kadang-kadang terpaksa dicutikan sementara semasa Naz Jepun berada di luar negara membawa pelancong.

 

Perniagaan ayam golek dipertingkatkan

Daripada menggunakan dapur ayam golek yang menggunakan arang, pada tahun 2015 Naz Jepun mempertingkatkan perniagaan ayam goleknya kepada ketuhar dan mesin ayam golek khas. Penggunaan peralatan yang lebih baik ini dapat mempertingkatkan rasa dan kualiti ayam golek.

Beberapa tahun berikutnya Naz Jepun mempertingkatkan lagi perniagaannya daripada gerai biasa di tepi jalan kepada food cart yang mudah alih. Food cart yang boleh ditarik dengan kereta ini sangat memudahkan perniagaannya serta menjimatkan masa dan tenaga. Perniagaannya juga dijenamakan semula dengan nama Ayam Golek Samurai.

Sepertimana semangat pahlawan yang ada dalam diri seorang samurai di Jepun, begitu jugalah semangat seorang pejuang usahawan yang terus gigih dan berani mencuba. Daripada satu menu ayam golek sahaja, Naz Jepun cuba menggandingkannya dengan nasi lemak dan juga beberapa menu lain untuk menambah produk jualan.

 

Cabaran besar di musim pandemik Covid-19, Naz Jepun tidak mengalah dan mula rancang strategi baru

Pandemik Covid-19 yang melanda negara kita dan juga dunia pada awal tahun 2020 memberi kesan kepada para peniaga. Hampir semua perniagaan terjejas terutamanya pelancongan yang terkesan teruk. Kembara Halal Nippon terpaksa dihentikan disebabkan sekatan perjalanan ke luar negara sehinggalah keadaan mengizinkannya beroperasi kembali. Perniagaan makanannya juga menghadapi kesan kekurangan pelanggan.

Naz Jepun kembali fokus kepada perniagaan makanan dan menjenamakan semula perniagaannya kepada nama yang lebih menarik, Samurai Kitchenz. Dengan membuat beberapa kajian dan percubaan, rasa ayam goleknya ditambah baik lagi dengan gandingan citarasa ala Jepun dengan rasa Malaysia. Selain ayam golek, Naz Jepun turut menambah produk-produk makanan baru iaitu ayam perap, daging kambing perap dan nasi ayam. Produk ayam perap dan daging kambing perap ini turut diedarkan melalui ejen-ejen di tempat lain sebagai produk makanan sejuk-beku.

Bagi menaikkan lagi daya perniagaannya, pada November 2020 Naz Jepun beralih kepada food truck yang lebih besar. Dengan food truck ini perniagaan Naz Jepun bukan saja boleh menjadi lebih produktif disebabkan mempunyai dapur bergerak, imej perniagannya juga menjadi lebih gah. Beberapa lagi menu baru ditambah lagi supaya para pelanggan mempunyai lebih pilihan.

 

Usahawan makanan seperti Naz Jepun mampu bertahan dan berkembang kerana beliau mempunyai perancangan strategi dan sentiasa berinovasi.

“Evolusikan perniagaan kita supaya selari dengan kehendak dan permintaan masyarakat setempat. Kreativiti yang tinggi sangat-sangat perlu untuk terus bertahan dalam perniagaan. Jadikan perniagaan kita unik di mata pelanggan.”

“Survival dalam era wabak Covid19 ini bukanlah mudah. Banyak yang pahit daripada manis sebenarnya. Anggaplah pahit itu akan berubah menjadi manis akhirnya,” pesan beliau kepada para usahawan yang sedang bergelut dalam musim pandemik yang sukar ini.

Food truck Samurai Kitchenz beroperasi di Saujana Rawang, turut menerima tempahan acara majlis dan tempahan food pack. Anda boleh layari laman Facebook Samurai Kitchenz bagi mendapatkan produk-produk makanan yang diusahakan oleh Naz Jepun. Berkenaan perkhidmatan pelancongan ke Jepun pula anda boleh layari laman Facebook Kembara Halal Nippon.

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *