fbpx

Ini kesannya pada otak jika tahu lebih dari 1 bahasa

Ada lebih kurang 7,000 bahasa di dunia ini. Daripada jumlah ini, berapa banyak yang anda boleh gunakan untuk bercakap, menulis, mendengar, dan membaca? Tahukah anda bahawa ada manfaat yang besar bagi mereka yang multilingual, iaitu mereka yang mampu untuk bercakap berbilang bahasa?

Kebolehan untuk berbahasa lebih dari satu bahasa sememangnya menjadi kelebihan bagi seseorang. Apa tidaknya, bila menonton filem atau drama, tiada sarikata pun tak mengapa. Nak baca suratkhabar, majalah, atau komik pun tiada masalah. Ketika melancong, jadi lebih mudah untuk tawar-menawar dengan penjual cenderamata atau bila mahu berkomunikasi dengan orang tempatan.

Menurut video daripada Ted Ed yang disampaikan oleh Mia Nacamulli, mereka yang multilingual mempunyai otak yang berfungsi secara berbeza dengan otak mereka yang monolingual, yang hanya tahu satu bahasa saja.

Dengan bantuan teknologi pengimejan otak yang terkini, ahli neurolinguistik mengkaji bagaimana aspek tertentu dalam pembelajaran bahasa boleh memberikan kesan kepada otak orang yang multilingual ini.

Kanak-kanak adalah golongan yang paling mudah untuk belajar bahasa. Semasa dalam proses tumbesaran, kedua-dua bahagian otak – kiri dan kanan – mampu berfungsi serentak untuk “menyerap” bahasa dengan mudah.

Lihat saja di Malaysia, ibubapa Melayu yang hantar anak mereka belajar di sekolah Cina, anak tersebut akan boleh menulis dan bertutur dalam bahasa Cina, selain dari bahasa Melayu yang biasa mereka gunakan di rumah. Tambahan pula, pembelajaran dwi- atau multi- bahasa pada peringkat ini membolehkan mereka menggunakan ayat dan perkataan yang sesuai mengikut konteks emosi dan sosial.

Berbeza dengan orang dewasa, pemprosesan bahasa biasanya dibuat pada satu bahagian saja iaitu otak kiri. Kajian terkini mendapati mereka yang belajar bahasa kedua ketika dewasa menunjukkan kurangnya kecenderungan pada emosi dan lebih kepada pendekatan secara rasional bila berhadapan masalah dalam bahasa kedua mereka, berbanding dalam bahasa ibunda mereka sendiri.

Kemampuan multilingual tidak menjadikan seseorang itu bijak. Walaupun begitu ada beberapa kesan positif yang boleh didapati darinya. Sel-sel otak akan lebih berhubung dan otak akan menjadi lebih kompleks, aktif, dan sihat. Keadaan ini berupaya melambatkan kedatangan penyakit seperti Alzheimer dan demensia.

Adakah anda seorang yang multilingual?

Jika anda boleh faham artikel ini dan kandungan video di bawah ini, TAHNIAH. Anda seorang MULTILINGUAL!

 

Sumber: TED ED

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *