fbpx

Sindiket Macau Scam: Ketahui cara penjenayah ini beroperasi, elak jadi mangsa penipuan

Kerap kali kita terdengar atau terbaca berita-berita tentang mangsa penipuan Macau Scam yang berlaku hampir setiap bulan. Yang sedihnya, mangsa akan mengalami kerugian berjumlah ribuan hingga jutaan ringgit akibat terpedaya dengan tipu helah sindiket jenayah ini.

Ada pendapat mengatakan bahawa jenayah penipuan ini mula-mula sekali dikesan di Macau, sebuah wilayah di negara China. Mungkin dari situlah aktiviti jenayah ini mendapat gelarannya.

Sindiket jenayah penipuan ini bukan sahaja didalangi oleh warga asing, malah warga tempatan turut terlibat. Mereka menggunakan talian telefon tempatan dan antarabangsa untuk menghubungi bakal mangsa secara rambang, lalu memperdaya mangsa tersebut supaya menyerahkan sejumlah wang yang banyak kepada mereka.

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang tahun 2019 hinggalah Mac 2021, kes penipuan Macau Scam adalah sebanyak 13,120 kes yang melibatkan kerugian lebih daripada RM580 juta.

Data PDRM juga menunjukkan yang warga emas dan pesara adalah golongan yang mudah menjadi sasaran penipuan sindiket Macau Scam ini, berbanding orang muda.

Perkara ini adalah masalah serius yang perlu diambil perhatian oleh orang ramai bagi mengelakkan kerugian yang besar dan penyesalan dikemudian hari.

Mulakan dengan ambil tahu bagaimana cara mereka menjalankan penipuan.

Bagaimana mereka menipu?

Berikut adalah empat modus operandi Macau Scam yang dikenalpasti oleh PDRM.

 

1. Menang hadiah

Mangsa dihubungi oleh wakil sebuah syarikat, kononnya mangsa telah memenangi hadiah yang sangat lumayan.

Walaubagaimana pun, untuk menuntut hadiah tersebut, mangsa perlu memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun tertentu, kononnya bagi membayar nilai cukai dan insuran.

Setelah mangsa membuat transaksi, tiada hadiah yang diterima dan syarikat yang menawarkan hadiah itu pula gagal dihubungi.

 

2. Menyamar sebagai pihak berkuasa

Mangsa menjawab panggilan telefon daripada seseorang yang mengenalkan dirinya sebagai pegawai polis, mahkamah, atau pihak berkuasa kerajaan.

Pemanggil ini mendakwa yang mangsa terlibat dalam kegiatan jenayah seperti pengedaran dadah, kongsi gelap, pengubahan wang haram, atau seumpamanya, dan akan disiasat oleh pihak berkuasa.

Kononnya bagi tujuan siasatan atau untuk mengelakkan akaun bank mangsa daripada dibekukan, mangsa diperdaya untuk memindahkan wang daripada akaunnya ke akaun bank lain yang ditentukan oleh sindiket ini.

 

3. Menyamar sebagai pegawai bank

Mangsa dihubungi oleh individu yang menyamar sebagai pegawai bank, sama ada dari Bank Negara Malaysia atau dari mana-mana bank komersil.

Mangsa didakwa mempunyai tunggakan pinjaman wang atau kad kredit yang sangat banyak dan bakal disenarai hitam atau akaun bank dibekukan sekiranya sejumlah bayaran tidak dilunaskan.

Untuk mengelakkan hal ini daripada berlaku, mangsa diperdaya supaya memasukkan sejumlah wang ke nombor akaun bank tertentu sama ada secara perbankan atas talian atau mesin deposit tunai.

 

4. Tuntut wang tebusan

Mangsa diperdaya oleh pemanggil telefon yang mendakwa anak atau saudaranya telak diculik dan meminta wang tebusan sebagai syarat untuk pelepasan.

Ada juga variasi penipuan yang kononnya mangsa mempunyai kes langgar lari, dadah, atau jenayah-jenayah lain, yang memerlukan mangsa membuat pindahan wang ke akaun pihak ketiga bagi menyelesaikan kes-kes tersebut.

Maka setelah anda mengetahui modus operandi mereka, ketahui pula apa yang anda perlu lakukan sekiranya anda berhadapan dengan situasi seperti di atas, atau yang seumpamanya.

Bagaimana mahu elak daripada jadi mangsa Macau Scam?

Ikuti empat langkah ini.

1. Jangan mudah percaya

Apabila anda mendapat panggilan daripada nombor yang tidak dikenali, sentiasalah berwaspada dan jangan mudah percaya dengan apa yang cuba disampaikan oleh pemanggil.

Sekiranya pemanggil memberitahu yang anda telah menang sesuatu, ada hutang tertunggak, terlibat kes jenayah, saudara diculik atau kemalangan, atau apa-apa yang seumpamanya, sila bertenang dahulu.

 

2. Jangan beri kerjasama

Sedar atau tidak, data peribadi ramai rakyat Malaysia sudah bocor dan data tersebut boleh dibeli di pasaran gelap.

Sindiket Macau Scam ini mungkin mempunyai sebahagian maklumat diri anda yang mereka boleh gunakan untuk mendapatkan kepercayaan anda, seperti nombor akaun, kad pengenalan, nama ibu, alamat rumah, atau lain-lain.

Walaubagaimana pun, untuk sampai ke peringkat anda menyerahkan wang kepada mereka, penjenayah ini akan meminta lebih banyak lagi maklumat dan “kerjasama” daripada anda.

Jangan berikan mereka apa-apa maklumat penting dan sebarang kerjasama!

Ada kes dimana mangsa diminta untuk memuat turun aplikasi telefon yang kononnya daripada institusi kerajaan. Wang mangsa didalam akaun bank hilang selepas mangsa memasukkan data peribadi dan maklumat akaun kedalam aplikasi tersebut.

 

3. Jangan panik

Sekiranya anda panik, lebih mudah untuk penjenayah menipu dan menyuruh anda membuat apa yang mereka arahkan.

Kita harus sentiasa sedar dan peka bahawa pada zaman sekarang, jenayah penipuan melalui telefon ini semakin berleluasa, dan kita tidak mahu menjadi sebahagian daripada mangsa mereka.

 

4. Jangan teruskan panggilan

Sebaiknya apa yang perlu anda lakukan ialah putuskan panggilan tersebut. Kemudian cari dan hubungi nombor telefon rasmi pihak yang kononnya diwakili oleh pemanggil tersebut untuk mendapatkan pengesahan dan kepastian.

Jika anda tidak melakukan sebarang kesalahan, buat apa nak takut… kan?

 

Berfikirlah secara logik dan rasional

Cuba fikir kembali, sekiranya anda tidak pernah pun menyertai apa-apa peraduan, pertandingan, atau cabutan, bagaimana pula anda boleh menang sesuatu?

Kenapa bila dah menang, kena keluarkan duit sendiri pula untuk tuntut hadiah itu? Banyakkan bertanya kepada diri sendiri jika anda kononnya dapat rezeki terpijak.

Kalau betul anda ada melakukan kesalahan sama ada secara sedar atau tidak, setahu penulis, anda akan menerima surat rasmi daripada pihak berkenaan, atau anda akan didatangi sendiri oleh wakil pihak berkaitan untuk menyelesaikan urusan kes tersebut.

Ada proses undang-undang yang sepatutnya mengikut turutan. Bukan semudah dengan panggilan telefon dan menyuruh anda memasukkan wang ke akaun lain!

 

Beringat sebelum kena!

Memandangkan ramai warga emas dan pesara yang menjadi mangsa sindiket durjana ini, kepada anak-anak muda, keraplah ingatkan ibu bapa dan saudara mara yang sudah berusia tentang penipuan Macau Scam ini.

Pesan kepada mereka supaya sentiasa berhati-hati dengan panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali. Ambil tahu dan terangkan kepada mereka taktik licik modus operandi sindiket jenayah ini.

Pelbagai amaran telah dikeluarkan oleh banyak pihak, seperti polis, institusi kewangan, dan agensi-agensi kerajaan bagi mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan berwaspada daripada menjadi mangsa jenayah ini.

PDRM khususnya, telah menubuhkan pusat sehenti CCID Scam Response Centre untuk menerima dan menyampaikan sebarang maklumat berkaitan kegiatan penipuan, lebih-lebih lagi yang berkaitan Macau Scam.

Pusat ini boleh dihubungi menerusi talian 03-26101559 dan 03-26101599, bermula dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam, setiap hari.

 

Selain berwaspada dengan sindiket penipuan Macau Scam, kita juga harus berhati-hati daripada tertipu dengan membeli produk-produk scam yang berada di pasaran, seperti alat yang kononnya boleh jimat minyak ini.

Semoga perkongsian ini memberi kesedaran kepada kita semua agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati, dan seterusnya saling mengingatkan sesama kita tentang jenayah penipuan yang berlaku di persekitaran kita.

 

Sumber: PDRM | Astro Awani | Harian Metro | Sinar Harian | Lowyat.net

 

----
Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jom kongsikannya untuk kebaikan orang ramai.

Like & Follow Facebook Konfiden untuk kemaskini perkongsian informasi bermanfaat serta berfaedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *